TERJAWAB segala persoalan apabila penyanyi rap Bunga Isme akhirnya mengedahkan telah bergelar isteri kepada komposer dan penulis lirik, Amzar Sabri, tahun lalu.
Enggan berkongsi tarikh sebenar selain tidak menghebohkan penikahannya, Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 24, berkata dia memilih untuk menyembunyikan pernikahan demi menghormati keluarga kedua belah pihak.
“Saya sudah berkahwin. Alhamdulilah kami sudah berbincang tentang hal ini, semua urusan dipermudahkan.
Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu. Saya cuma hanya boleh cakap, selepas selesai belajar, rezeki (pernikahan) itu datang lebih awal.
“Saya pun tidak menjangkakannya tetapi saya menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga untuk merahsiakannya,” katanya kepada Hibglam pada majlis pelancaran Warner Music Fest, hari ini.
Sambung pelantun lagu Intan Payung itu, majlis pernikahannya berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga serta teman rapat.
“Sebenarnya kami mahu bersederhana sahaja, lebih senang dan tenang untuk menjalani kehidupan seterusnya.
Bagi saya kita kena dapat kata persetujuan daripada semua pihak. Jadi kami keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan.
“Majlis yang diraikan bersama keluarga dan kenalan rapat sahaja,” kongsinya.
Ditanya mengenai perancangan cahaya mata pula, Bunga menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Tuhan.
“Kami belum merancang untuk menimang cahaya mata kerana mahu fokus terhadap kerjaya.
Namun kami tidak menolak sekiranya dikurniakan anak lebih awal,” katanya.
Pada April lalu, status Bunga menjadi tanda tanya peminat apabila dilihat mengenakan pakaian sedondon dan menyambut 1 Syawal bersama vokalis kumpulan Razqa iaitu Amzar Sabri.
Foto mesra dikongsi Amzar dalam akaun Instagram itu turut mengundang tanda tanya ramai sehingga ada yang membuat andaian mereka sudah berkahwin.
Bunga bagaimanapun enggan mengulasperkara itu dengan mengatakan akan berkongsi mengenainya dalam masa terdekat.
Sebelum itu HibGlam menerima kad undangan perkahwinan daripada sumber yang tertera nama Bunga dan pasangannya.
Majlis pernikahan mereka diadakan di sebuah sebuah villa di Kuang, Selangor pada 4 Oktober 2023.- HIBGLAM
View this post on Instagram