PENDAKWAH selebriti dan usahawan, Haris Ismail menyifatkan tanggungjawab membayar bil serta perbelanjaan rumah terletak di bahu lelaki.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, berkata demikian bagi menjawab tentang video tular isterinya iaitu Noor Neelofa yang mendedahkan tidak pernah membayar semua bil sejak berkahwin.
Secara mudahnya, itu adalah tanggungjawab semua lelaki bukan saya seorang sahaja.
“Semua lelaki yang sudah berkahwin kena jaga nafkah yang perlu kita bagi. Itu adalah wajib,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Kita & Co, hari ini.
Disebabkan pendedahan Neelofa, ramai netizen mengidolakan Haris dan berharap agar pasangan mereka bertanggungjawab seperti Haris.
Namun, kata bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim keempat itu, tiada apa yang perlu dibanggakan tentang sesuatu perkara yang wajib dilakukan.
Sama seperti solat. Mungkin akan ada isteri yang berkata suaminya solat lima waktu. Bagi saya perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana semua umat Islam wajib solat,” ujarnya.
Terdahulu, dalam video audio siar bersama aktres Nora Danish, Neelofa mendedahkan tidak pernah membayar bil serta barang keperluan rumah sejak berkahwin dengan Haris.
Menurut Neelofa, suaminya melarang dia membeli barang-barang keperluan menggunakan duitnya sendiri kerana itu adalah tanggungjawab seorang suami.
Malah, Haris akan bertanya tentang bil jika ternampak Neelofa membeli barang dapur tanpa pengetahuannya. – HIBGLAM