SEBUT sahaja nama Scha Alyahya, sudah terbayang wajah anggun dan fizikal tinggi lampai yang sentiasa kelihatan cantik serta elegan dalam menyarungkan apa jua busana.
Biarpun berpakaian serba ringkas atau mengenakan solekan tipis, Scha sering dipuji antara selebriti yang bijak dalam berfesyen dan sentiasa ‘bersiap’ setiap kali muncul di mana-mana acara.
Menurut Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 41, sebagai seorang selebriti, penjagaan imej sangat penting demi kelangsungan kerjaya.
“Saya tahu memang agak berat untuk berbelanja, tetapi sebagai selebriti kita adalah satu jenama yang perlu dijaga.
Orang akan lihat dan imej itu akan kekal dengan kita selamanya. Jadi, tidak perlu berlokek untuk bersiap kerana kita akan kelihatan ikhlas dan bersedia apabila hadir ke acara,” ujarnya.
Bahkan, Scha juga sanggup mengupah penata gaya (stylist) yang hadir dengan pakej jurusolek dan penata rambut ketika awal kemunculannya sebagai pelakon.
Biarpun terpaksa memperuntukkan bajet yang besar, bagi Scha, langkah itu berbaloi demi memastikan dia menggayakan pakaian yang tepat.
Masa awal berlakon dulu, saya antara orang yang mengupah stylist. Selepas beberapa tahun dan sudah dapat rentak serta tahu gaya yang sesuai akhirnya saya buat semuanya sendiri.
“Bukanlah perlu berhabis wang ringgit tetapi kena kreatif dalam berfesyen. Tetapi disebabkan pelaburan saya dalam menjaga imej, orang memandang saya serius untuk bekerja dalam bidang ini,” ungkapnya.
Bintang filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu turut memuji Datuk Aznil Nawawi sebagai selebriti yang bijak dalam menjaga imej dan fesyen.
Justeru katanya, sikap Aznil wajar dicontohi selebriti lain jika mahu bertahan lama dalam industri seni.
“Pak Nil antara selebriti yang akan bersiap ke mana sahaja acara yang dihadirinya. Saya pernah berlakon dengannya. Apa yang saya perhatikan, beliau cukup hebat dalam mempersiapkan diri termasuk solekan serta rambut.
Jika kita perhatikan Pak Nil tidak pernah ulang pakaiannya. Jika ada pun yang diulang pasti beliau akan menggayakan secara ‘mix and match’.
“Oleh itu, saya ingin pesan kepada selebriti janganlah lokek bab imej kerana ini antara komponen penting untuk menjadi selebriti. Orang akan ingat kita dengan imej yang dibentuk daripada sekarang,” ujar isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu.
Selama 18 tahun berkecimpung dalam dunia seni, sepuluh tahun terakhir anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu aktif dalam dunia fesyen.
Selain menjadi jurucakap, duta, model, Scha juga sering dipilih sebagai ‘duta kecil’ Malaysia di pentas fesyen antarabangsa.
Minat dalam bidang fesyen sudah sebati dengan dirinya, malah dia dan suami pernah memiliki butik pakaian yang menghimpunkan pelbagai jenama bawah satu bumbung, namun perniagaan tersebut tidak bertahan lama.
Kini, selepas setahun melakukan kajian Scha bakal muncul dengan produk fesyen jenamanya sendiri pada penghujung tahun ini.
Sebelum ini memang ramai yang menggalakkan saya untuk ceburi bidang perniagaan fesyen. Selepas 10 tahun, barulah saya ada keyakinan apabila tahu selok-belok dan faham ilmu bisnes.
“Fesyen sangat dekat dengan hati saya, jadi lebih baik kekal dengan bidang yang saya sudah kenal dan faham. Minat sahaja tidak mencukupi, tetapi perlu ada ilmu. Jika tidak saya bimbang bisnes separuh jalan,” kata ibu dua orang anak itu lagi.
Tidak bergandingan dengan mana-mana rakan kongsi, bisnes yang bakal dilancarkan itu diharap akan berkembang menjadi sebuah empayar fesyen.
Sungguhpun begitu, Scha menjelaskan status sebagai selebriti bukan tiket untuk sesebuah bisnes meraih keuntungan dengan jalan mudah.
“Sebenarnya selebriti yang paling susah jika buat bisnes. Bukan di Malaysia sahaja tetapi luar negara pun sama apabila orang ramai tidak percaya dengan kualiti produk yang dihasilkan. Mereka memandang rendah kepada selebriti.
Sebab mereka ingat selebriti dapat semua benda dengan mudah walhal kami memulakan perniagaan sama sahaja seperti usahawan lain.
“Kelebihannya mungkin hanya daripada segi pemasaran, orang mudah kenal produk kita, tetapi daripada kepercayaan selebriti perlu bekerja lebih keras,” tutur Scha yang mengidolakan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datin Fouziah Gous sebagai usahawan selebriti berjaya.
Selepas sekian lama tidak berlakon, Scha kembali ke layar perak dengan filem 5 Bomoh yang diterbitkan oleh produksi Global Station Sdn. Bhd.
Filem yang masih dalam penggambaran itu dibintangi ramai bintang terkenal antaranya, Datuk Aaron Aziz dan Aedy Ashraf.
Jelas Scha, tawaran filem tersebut hadir pada waktu yang tepat selepas dia selesai bekerja di luar negara.
Kebetulan rezeki, ikutkan bukan saya tidak mahu berlakon tetapi saya jenis tidak suka menyusahkan pihak produksi.
“Pekerjaan selaku jurucakap dan model memerlukan saya banyak ‘travel’ ke luar negara untuk menghadiri acara fesyen.
“Adakalanya, penggambaran perlu dihentikan kerana saya tiada di Malaysia, jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku menyebabkan karier lakonan bergerak agak perlahan.
“Dulu waktu muda bolehlah berlakon tiga drama serentak dan lari-lari set penggambaran berbeza. Sekarang apabila lakukan sesuatu saya mahu fokus untuk beri hasil yang terbaik,” tuturnya menoktah bicara. – HIBGLAM