MEMAHAMI cabaran dan penggorbanan wanita menguruskan keluarga, pelakon Uqasha Senrose meminta para suami untuk menghargai penat lelah isteri melahirkan dan mengasuh anak-anak.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, berkata, suami perlu menghargai isteri yang menguruskan anak sendirian tanpa pertolongan pembantu sebagai satu pengorbanan besar.
“Kepada semua suami-suami, hargailah isteri ada. Besar pengorbanan isteri yang membesarkan anak tanpa pertolongan sesiapa. Yang tidak cukup tidur, yang basuh baju anak, lipat baju anak susun baju anak. Basuh botol susu, buat susu.
“Tidur sampai hendak patah pinggang, nak makan pun hanya untuk alas perut. Nak masuk tandas pun kena pegang anak, kalau letak anak menangis. Hendak mandi pun tak sempat, takut anak menangis. Bagi yang ada pembantu, alhamdulillah, bagi yang mengasuh sendiri ingatlah bahawa sangat besar pahalanya,” kata Uqasha dalam Instagram.
Tambah Uqasha, tempoh enam bulan membesarkan anaknya iaitu Hawra Uqaira dirasakan begitu pantas sehingga membuat dirinya sebak.
Malah, pelakon filem Hantu Kak Limah itu turut mendoakan semoga puteri sulungnya berada dalam keadaan baik dan dirahmati Tuhan.
“Tiba-tiba rasa sebak sangat. Tak sangka Qasha (nama panggilan Uqasha) sudah melalui tempoh mengandung sembilan bulan. Rasa apa itu sakit melahirkan. berpantang. membesarkan anak sampai sudah hendak masuk enam bulan.
“Belajar macam-macam untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik untuk anak. Ya Allah lindungi anakku. Jagalah di setiap langkah kakinya, di setiap detak jantungnya dan di setap hembusan nafasnya.
“Ya Allah panjangkanlah umur anakku, terangilah hatinya, teguhlah imannya, cerdaskan akalnya, baikkan amal perbuatannya, lapangkan rezekinya, dekatkan dia dengan kebaikan dan jauhkanlah dari segala keburukan,” ujar Uqasha.
Perkongsian isteri kepada pelakon Kamal Adli itu kemudian mendapat perhatian beberapa rakan artis dan peminat.
Rata-rata mereka mendoakan semoga Uqasha kuat semangat dan kekal positif dengan cabaran yang mendatang.
“Peluk untuk Uqasha dan Uqaira. Semoga ibunya terus kuat dan tabah. Begitu juga dengan sang anak yang berada dalam keadaan baik.
“Bila cakap macam ini, cepat betul rasanya. Sekarang sudah masuk enam bulan, nanti akan masuk setahun.
“Semoga Uqasha menjadi seorang ibu yang misali,” komen netizen.
Uqasha dan Kamal diijabkabulkan pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada April lalu.
Sementara itu timbul khabar angin mendakwa rumah tangga mereka sedang berantakan.
Nafi dakwaan tersebut, Uqasha bagaimanapun reda apabila kehidupan rumah tangganya difitnah. – HIBGLAM