Magis serlah jiwa ‘srikandi’ Siti Nurhaliza

 

KEMBALI memukau peminat, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan video muzik baharu berjudul Magis pada 7 Oktober lalu.

Rata-rata peminat tidak sabar menantikan penghasilan karya Zeel Production itu selain aksi pertarungan Siti yang tular beberapa hari sebelum dilancarkan.

Rupa-rupanya, video muzik tersebut merupakan hasil idea serta air tangan Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, bersama pengarah kreatif Zeel Production, Marr Mohamad.

Katanya, konsep video muzik berkenaan membawa gabungan elemen dongeng, fantasi dan kepahlawanan wanita serta Siti berperanan sebagai Ratu Srikandi.

‘’Sewaktu berbincang dengan pihak penerbit dan pengarah, saya ingin memperlihatkan diri saya dari sisi yang berbeza.

“Hal ini kerana tidak ramai yang tahu saya sering berlatih memanah, muay thai dan suka mencuba aktiviti lasak,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beraksi lasak

Dalam video Magis juga terdapat babak pertarungan ibu kepada dua orang anak itu bersama watak penjahat yang dipegang oleh Fadhlan Hazim.

Bagi penerbitnya, Mohd. Fadzil Teh, penghasilan video muzik berkenaan sangat istimewa selain memuji komitmen pelantun lagu Percayalah yang sangat tinggi.

“Siti pula sedia beraksi lasak seperti mempunyai babak berlawan.

“Kami berusaha semampu mungkin termasuk menyediakan pelakon lagak aksi.

“Dia sangat komited dan latihan hanya dilakukan di lokasi penggambaran dengan sekitar satu jam sebelum penggambaran bermula,”

Pembikinan video klip Magis ini melibatkan kolaborasi dengan pasukan produksi kreatif GHZ Studio serta menampilkan Fadhlan Hazim, Azza Elite serta pelakon cilik Rafique Iskandar.

Muzik video berkenaan dipersembahkan saluran Astro Ceria dan dipilih sebagai runut bunyi utama drama siri bersiri Hikayat Bawang Putih Bawang Merah yang bakal ditayangkan pada 21 Oktober menerusi Astro Ceria.

Magis menjadi antara lagu Siti Nurhaliza yang dimuatkan di dalam album Sitism terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dan Universal Music Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok