Tampil seksi berbaju celoreng, Dolla singgung anggota ATM

SEORANG individu dipercayai bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meluahkan rasa kesal terhadap kumpulan Dolla yang membuat persembahan mengenakan pakaian menyerupai corak celoreng tentera minggu lalu.

Menurut bekas pelajar UPNM, Hafizi Azri, perbuatan Dolla itu seharusnya dikenakan tindakan undang-undang kerana telah mencemarkan kedaulatan baju celoreng selain menyinggung perasaan anggota tentera darat.

“Jika ditanya kepada mereka yang bergelar tentera darat, pasti masing-masing akan meluahkan rasa tersinggung jika uniform kebanggaan disalahgunakan.

“Dimanakah silap? Adakah penganjur lupa untuk rujuk mana-mana badan bertanggungjawab? Benda sudah jadi? Apa tindakan? Diharapkan pihak Tentera Darat Malaysia buat pengumuman tentang tindakan yang akan diambil bagi menjaga nama baik.

“Kami penat lelah menjalani latihan, tinggal keluarga dan korbankan masa semata-mata nak sarung baju keramat ini. Mereka mudah-mudah nodai uniform kami,” luahnya di Facebook.

Sementara itu, meninjau ke ruangan komen, netizen turut meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan Dolla yang mengenakan pakaian dengan corak sebegitu sambil menampakkan bahagian perut.

“Bagaimana boleh pakai baju tentera dengan gaya seksi seperti itu. Tolong Kementerian Pertahanan ambil tindakan.

“Moga ada pihak tampil ambil tindakan ke atas mereka atau mereka perlu buat permohonan maaf.

“Sebelum ini sudah ada beberapa artis yang ditegur kerana melakukan perbuatan sama. Moga kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” komen netizen.

Insiden tersebut berlaku ketika Dolla membuat persembahan di Festival Housboom pada 5 dan 6 Oktober lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok