‘Dah rancang awal’ – Lagu duet Fazura, Fattah tetap dilancar hari ini

Peluncuran lagu duet Nur Fazura dengan bekas suami, Fattah Amin berjudul Bertahan Demi Cinta esok hari ini tiada kena-mengena dengan urusan atau perkembangan peribadi mereka.

Demikian penjelasan syarikat milik Fazura iaitu Fazura Studios menerusi kenyataan rasmi kepada media hari ini.

Memetik kenyataan sama, mereka juga tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kami juga ingin menegaskan bahwa kenyataan yang dikeluarkan pengurus Fazura (Iman Tang) berhubung pemilihan tarikh peluncuran lagu tersebut adalah pendapat peribadinya.

“Tidak mewakili syarikat Fazura Studios dan Hits Record. Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Fazura,” tulis kenyataan terbabit.

Lagu yang turut mendapat sentuhan Ippo itu dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada awal tahun ini disusuli dengan pembikinan video muzik lagu yang menjalani penggambaran di Yogyakarta, Indonesia pada Februari.

Lagu Bertahan Demi Cinta turut dijadikan runut bunyi drama bersiri popular, Hero Seorang Cinderella 2 yang ditayangkan pada 17 Mac lalu.

Spekulasi mengenai lagu tersebut timbul selepas syarikat rakaman Indonesia, Hits Record dilapor memuat naik video dalam Instagram memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single Bertahan Demi Cinta di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober.

Sehubungan itu, Iman Tang yang dilaporkan mengakui tidak tahu-menahu mengenai projek single itu menyelar tindakan berkenaan dengan menyifatkan tidakan tersebut sebagai tidak sensitif dan cuba menangguk di air keruh.

Isnin lalu, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada pukul 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup sebagai suami kepada Fazura.

Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok