LEBIH dua dasawarsa membina nama sebagai kugiran muzik, banyak pahit manis didepani kumpulan Govinda yang setia dianggotai empat jejaka berbakat besar.
Mereka ialah Irfan Hadari selaku vokalis, Ade Nurulianto (gitaris), Yosafat Luki Marendra (bass) dan Ritchie atau Jeje (drum).
Kekal relevan, perkara paling diterapkan dalam diri setiap anggota kumpulan adalah persefahaman.
Tanpa nilai tersebut, masakan mungkin mereka bertahan hingga ke detik ini, sedangkan ramai rakan sezaman ada yang sudah berpecah dan tidak lagi melihat muzik sebagai cinta utama.
Berbekalkan cinta pada muzik, kumpulan asal Seberang itu enggan karier di takuk sama tanpa menyebar luas keindahan setiap lagu ciptaan mereka sendiri kepada peminat di luar Indonesia.
Kesempatan mereka berempat menjejakkan kaki ke bumi Malaysia untuk menjayakan konsert sulung umpama sebuah mimpi menjadi realiti yang telah sekian lama tergantung di langit impian.
Konsert sulung
Pertama kali bakal mengadakan konsert sulung sejak penubuhan, Malaysia bakal menjadi tempat bersejarah seiring momen indah buat mereka berempat menjelang 31 Oktober nanti.
Berpasak prinsip kerja keras, Govinda berjanji akan memberikan sepenuh jiwa dan energi pada malam konsert Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur yang pasti meninggalkan kenangan manis, khusus buat pemuja bakat mereka.
Ujar vokalisnya, Irfan, penerimaan positif peminat tempatan terhadap lagu-lagu mereka seperti Hal Hebat dan Masing-Masing menjadi pendorong mereka mengadakan konsert eksklusif tersebut.
“Kami sudah lama memasang impian bikin konsert di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas mendapat maklum balas positif peminat ketika muncul pada Konsert Aku Cinta Syamel Ernie Zakri, dua tahun lepas.
“Kami tidak menyangka, penerimaan peminat Malaysia terhadap karya yang kami bawakan amat memberangsangkan. Syukur muzik kami dihargai pendengar dari luar Indonesia.
“Aturan Tuhan memang hebat, kami tidak menyangka konsert sulung akhirnya berlaku di Malaysia yang pastinya akan menjadi satu sejarah dalam karier kumpulan kami. Jadi kami akan berhempas-pulas memberikan yang terbaik.
“Setakat ini persiapan konsert sudah 80 peratus dan kami berjanji akan ada kejutan, terutamanya pada susunan muzik yang difikirkan menjadi pencapaian tertinggi buat Govinda,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai persiapan memandangkan konsert bakal berlangsung hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi, Irfan berkata mereka berempat sebenarnya gementar namun semuanya sudah hampir ke tahap selesai sepenuhnya.
“Walaupun kami sudah biasa membuat persembahan secara langsung tetapi kali ini gementarnya lain macam, tekanan juga pasti ada memandangkan ini konsert sulung kami, semuanya harus sempurna.
“Pada malam tersebut kami akan menyampaikan sekitar 18 lagu hits, antaranya, Episode Bahagia, Tanpa Batas Waktu, Masing-Masing, Hal Hebat dan Siapa Yang Pantas.
Bukan itu sahaja, konsert juga bakal dimeriahkan dengan penyanyi jemputan istimewa yang pernah mendapat sentuhan ‘emas’ daripada Ade Govinda iaitu vokalis kumpulan Padi, Fadly.
Fadly dibawa khas untuk memperdengarkan karya yang meraih kejayaan dengan jumlah tontonan lebih 30 juta dalam YouTube berjudul Tanpa Batas Waktu.
Tidak cukup dengan itu, konsert tersebut juga akan digegarkan dengan gabungan tiga penyanyi Aina Abdul, Ernie Zakri dan Elica Paujin.
Tidak tumpang populariti
Pernah bekerjasama bersama Ernie Zakri melalui lagu Masing-Masing dan Aina Abdul menerusi lagu nyanyian semula, Episode Bahagia, timbul pula dakwaan bahawa kumpulan tersebut hanya menumpang populariti dan menunggang nama kedua artis tersebut.
Terkejut dengan dakwaan sebegitu, Govinda menegaskan tidak wujud istilah menumpang nama penyanyi lain untuk meraih penjualan tiket, sebaliknya sama-sama membantu menjayakan konsert pertama mereka di Malaysia.
Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Hadari berkata, ketika Ernie berkunjung ke Indonesia, mereka dan media Indonesia menyambutnya dengan sangat baik.
“Ketika Ernie datang ke Indonesia, kami semua termasuk media Indonesia menyambutnya dengan baik.
“Walaupun Govinda terkenal di Indonesia tapi kami tak pernah menganggap Ernie menumpang nama kami.
“Kami bangga dengan pencapaian dan bakat luar biasa Ernie, sekali gus turut mempromosikannya di Indonesia.
“Begitu juga di Malaysia, tak ada istilah kami menumpang nama mana-mana penyanyi kerana masing-masing sudah ada pengaruh dan memiliki populariti tersendiri,” tegasnya.
Tambah Irfan, pelantun lagu Aura itu mempunyai kemampuan nyanyian luar biasa, justeru layak diberi peluang untuk menyerlah di negara seberang, begitu juga Aina Abdul.
“Dia miliki suara luar biasa, salah seorang diva terbaik dari Malaysia, justeri kami bangga kerana dapat bekerjasama dengannya sekali gus memperkenalkannya di negara kami.
“Dengan pakej lengkap yang dimiliki Ernie, kami yakin namanya boleh melonjak di Indonesia, begitu juga Aina Abdul.
“Dalam situasi ini, kami saling membantu antara satu sama lain, bukan saling menunggang nama cuma berkongsi satu cinta iaitu cinta kepada muzik yang membuak-buak di dada kami sebagai anak seni,” ujarnya menutup bicara.
Sementara itu, gitaris dan komposer, Ade pula berkata, bakal ada kejutan istimewa buat peminat Ernie dan Aina pada tahun hadapan
“Kami merancang bekerjasama lagi dengan Ernie tahun depan. Insya-Allah, Ernie akan menyanyi lagu baru ciptaan kami.
“Lagu itu sudah siap proses rakaman dan hanya tunggu masa dilancarkan. Begitu juga Aina,” tutupnya. – HIBGLAM