Aliff tak pernah hubungi anak lepas cerai – Bella Astillah

PENYANYI dan pelakon sensasi Bella Astillah mendedahkan bekas suaminya, Aliff Aziz tidak pernah menghubungi anak-anak mereka sejak bercerai pada 13 Jun lalu.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, dia bagaimanapun baik-baik sahaja dengan situasi itu.

“Sebenarnya saya sudah tak mahu ulas pasal itu tapi sejak kejadian lalu sehingga hari ini, tiada satu mesej, panggilan atau Direct Message (DM) daripada dia.

Tapi saya tiada masalah dengan perkara itu, saya tidak pertikaikan, saya tidak marah dan saya rasa lebih baik begini.

“Tapi kita tak tahu tiga sehingga empat tahun lagi macam mana sebab saya rasa ini jalan terbaik. Saya seorang yang berhati lembut dan tidak bersedia untuk itu (berbaik),” katanya sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran lagu baharunya, Tapi Bukan Denganmu, hari ini.

Tambah pelakon drama Satu Hari Nanti itu lagi, dia bersyukur kerana anak-anaknya tidak pernah bertanya tentang bapa mereka.

“Alhamdulillah anak-anak tidak mencari, saya lagi takut kalau mereka fikir yang bukan-bukan tapi sekarang mereka fokus belajar dan setakat ini okay. Boleh nampak dalam media sosial saya.

Saya nak membantu diri saya untuk ‘heal’ jadi saya tidak ‘stalk’ dan saya tidak tahu apa-apa perkembangan mengenai dia atau keluarga dia. Saya hanya mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga dia.

“Saya tidak cakap yang pihak sana tiada usaha tapi sebenarnya saya bersetuju dengan tindakannya sekarang. Saya tidak marah dan saya rasa adalah lebih baik kita menjalani kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Kata Bella lagi, kehidupannya kini lebih tenang sejak bergelar ibu tunggal dan sibuk dengan kerjaya seni sebagai pelakon dan penyanyi.

Saya lebih tenang Alhamdulillah. Saya gembira dia ada kehidupan dia dan saya tidak mendoakan yang tidak baik.

“Kita pun manusia, kita sendiri nak minta orang doakan yang terbaik jadi lebih baik saya mendoakan yang terbaik dan semoga saya pun boleh menjalani kehidupan yang baik dengan anak-anak saya.

Nak ‘move on’ tak senang sebab hubungan kami selama 12 tahun itu tak mudah, tapi saya percaya lambat laun pasti saya boleh ‘move on’.

“Dengan adanya anak-anak dan keluarga, saya percaya masa itu akan tiba juga,” katanya.

Untuk rekod Bella dan Aliff pernah berkahwin pada 9 September 2016 namun bercerai pada Mei 2019 dan rujuk dalam tempoh edah.

Kemudian rumah tangga mereka sekali lagi dilanda badai pada awal tahun ini selepas Aliff ditangkap khalwat bersama aktres Ruhainies.

Sehubungan itu, Bella telah memfailkan penceraian pada bulan Februari dan akhirnya pasangan itu sah bercerai pada 13 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok