INDUSTRI hiburan Korea Selatan diperakui kehebatannya apatah lagi majoriti penggiat seninya berkualiti papan atas.
Bukan sahaja berbakat besar, visual selebriti negara itu juga meraih pujian ramai.
Tidak dinafikan, ramai artis K-Pop berdarah kacukan yang menyerlahkan lagi kecantikan mereka.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-Pop yang wajahnya seperti ada darah campuran, namun hakikatnya mereka berdarah asli Korea Selatan.
Jennie
Bintang ‘mendunia’ ini tidak perlukan pengenalan panjang, pakej lengkap dimiliki baik visual mahu pun karya seni sentiasa meledak dan mendapat perhatian khalayak.
Idola berusia 28 tahun itu juga sering dihambat pertanyaan adakah dia original Korea atau berdarah campuran.
Itu semua gara-gara penampilannya yang kelihatan kebaratan selain fasih bertutur dalam bahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan orang luar.
Hakikatnya, pelantun lagu Solo itu merupakan anak jati Korea yang lahir di wilayah Gyeonggi.
Pun begitu, Jennie pernah menetap beberapa tahun di New Zealand dan mungkin kerana itu ada yang menyangkanya anak pasangan perkahwinan campur.
Jihyo
Siapa sahaja tidak mengenali ketua kumpulan Twice, Jihyo yang hadir dengan pakej lengkap.
Kecantikan idola berusia 27 tahun itu buat ramai menyangkakan dia berdarah kacukan.
Mana tidaknya, gadis tinggi lampai itu memiliki raut wajah yang jarang dimiliki orang Korea seperti punya mata yang besar, ada kelopak mata ganda serta kulit yang agak kecoklatan.
Disebabkan itu, ramai menyangka Jihyo berketurunan Jepun-Amerika.
Tampil merungkai kekeliruan itu, Jihyo menegaskan dirinya berdarah asli Korea malah ibu bapanya tidak mewarisi kacukan dari mana-mana negara.
Heejin
Turut terpalit isu sama adalah anggota kumpulan Loona, Heejin yang terkenal dengan kecantikan melebihi piawaian Korea Selatan.
Disebabkan itu, ramai netizen menyangka idola berusia 23 tahun itu mempunyai darah kacukan ‘Mat Saleh’ kerana visual dan bentuk wajahnya jarang dimiliki orang Korea Selatan melainkan melalui pembedahan.
Wajah gadis putih gebu itu disifatkan sempurna malah ramai peminat memujinya seperti patung Barbie. Daripada rambut, mata, hidung, gigi, bentuk badan, semuanya tiada cacat cela.
Namun siapa sangka, Heejin merupakan anak jati Korea asli tanpa darah campuran bahkan lahir di sebuah desa yang sangat tradisional di Nonsan, Provinsi Chungcheong Selatan, Korea Selatan.
S.Coups
Ketua kumpulan Seventeen, S.Coups atau nama sebenarnya, Choi Seung-cheol juga sering disangka berdarah campuran.
Idola berusia 29 tahun itu didakwa ada darah Amerika atau Eropah kerana memiliki ciri-ciri khas wajah yang bertentangan dengan kebanyakan orang Korea.
Memiliki kelompak mata ganda, mata yang bulat serta nama panggungnya yang kedengaran seperti orang barat antara punca salah faham itu.
Tidak terkejut, jejaka tinggi lampai itu mengakui ramai menganggapnya idola dari luar negara sedangkan dirinya memang 100 peratus penduduk asal Korea.