Pasangan duet Nuha Bahrin dan Naufal Azrin menafikan mereka mempunyai hubungan istimewa sebagai kekasih apabila sering dilihat akrab sejak muncul dengan lagu ‘berhantu’, Casablanca.
Baik Nuha mahu pun Naufal, kedua-duanya sudah menganggap hubungan akrab antara mereka tidak lebih seperti adik-beradik sahaja.
Nuha atau nama lengkapnya Nuha Sakina Saiful Bahrin bagaimanapun tidak menafikan terdapat segelintir peminat menganggap mereka berdua sebagai pasangan kekasih dan gembira jika benar-benar saling mencintai antara satu sama lain.
“Tidak. Kami macam adik-beradik sebenarnya. Tidak lebih daripada itu. Memang ada peminat yang mahu melihat kami bercinta, tapi saya minta maaf, kami tidak bercinta dan tidak akan bercinta,” kata Nuha kepada Kosmo! Online.
Tidak marah dengan andaian yang dibuat peminat, penyanyi berusia 23 tahun itu sebenarnya bersyukur kerana peminatlah yang sebenarnya telah banyak menyokong perjalanan seni mereka sehingga diterima pada hari ini.
Sementara itu, Naufal atau nama lengkapnya Ahmad Naufal Azrin berkata, buat masa ini mereka berdua masih lagi berstatus solo dan tidak mahu fokus pada perkara lain (cinta), selain daripada kerjaya nyanyian.
“Kami tidak fokus pada cinta buat masa ini kerana banyak lagi prioriti lain yang perlu diberi perhatian,” kata Naufal.
Ketika disoal sama ada Nuha mempunyai ciri-ciri wanita yang boleh dijadikan kekasih, begitu juga sebaliknya, kedua-dua mereka kelihatan terkedut dan tidak dapat menjawab soalan tersebut.
“Susahlah nak jawab sebab kami sudah anggap seperti adik beradik. Bagaimapun, Naufal sebenarnya mempunyai ciri-ciri lelaki yang boleh saya jadikan kawan karib. Tapi tidak lebih daripada itu.
“Sejak mula kami berkolaborasi, memang kami tidak ada apa-apa perasaan selain daripada rakan kerja.
“Saya rasa keserasian kami hanya sebagai rakan kerja sahaja, tidak lebih daripada itu,” kata Nuha.
Tambah Naufal lagi, mereka bekerja secara profesional dan tidak pernah keluar berdua ketika di luar waktu bekerja.
“Kami profesional. Keluar berdua pun kami tidak pernah,” kata mereka sewaktu ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, bersempena meraikan bulan Ramadan, Naufal dan Nuha telah melancarkan buah tangan istimewa apabila tampil dengan sebuah single baharu berjudul Iktiraf.
Menurut Nuha, Iktiraf merupakan sebuah lagu dakwah yang mengajak seluruh umat Islam di dunia untuk sentiasa mengingatiNya dalam menempuh setiap ujian dan cabaran yang ada.
“Saya percaya ramai yang kenal dan tahu mengenai Iktiraf. Doa ini antara yang sering kita dengar atau baca setiap kali berdepan kesulitan.
“Doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Maha Pencipta supaya kita tidak berhenti berdoa dan memohon keampunan daripadaNya,” ujar Nuha.