Duduk di kerusi juri program realiti, Muzikal Lawak Superstar musim ke-4 (MLS4) , Anna Jobling tidak akan bersikap ‘bias’ (berat sebelah) terhadap rakannya, Puteri Sarah Liyana yang merupakan salah seorang peserta musim ini.
Menurut Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 24, bukan dia seorang sahaja yang menjadi juri program tersebut.
“Tak timbul soal ‘bias’. Kerana jika saya nak jadikan Puteri Sarah sebagai pemenang, kita tak perlukan juri-juri yang lain.
“Selain saya, kita ada dua lagi juri yang lebih senior dalam bidang komedi iaitu Saiful Apek dan Harith Iskander.
“Pendapat mereka lebih arif dan penting berbanding saya. Orang akan lebih percayakan kredibiliti mereka,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Tambah pelakon drama Hai Cinta, Dengarkanlah itu, bukan Puteri Sarah sahaja yang merupakan rakannya dalam MLS4.
“Ramai juga peserta dalam MLS4 ini merupakan kenalan saya dan pernah bekerjasama antaranya Aya Amiruddin, Harris Anuar, Danial dan ramai lagi.
“Jadi saya tegaskan lagi sekali tidak akan ada isu ‘bias’ terhadap mereka yang saya kenal,” jelasnya.
Anna dan Puteri Sarah sama-sama bernaung di bawah syarikatnya pengurus yang sama iaitu Mask Team.
Mereka berdua juga pernah terlibat dalam pementasan teater komedi, Maduku Terpaling Kalut pada tahun 2022.
MLS4 bersiaran secara langsung bermula 22 September, setiap Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Warna. – HIBGLAM