TIDAK bersetuju dengan kenyataan penyanyi Baby Shima yang mendakwa agamawan pilih kasih dalam memberi teguran terhadap Da’i Syed, pendakwah Da’i Fuad tampil bersuara.
Fuad atau nama sebenarnya Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar, 29, berkata, sudah beberapa kali dia menegur Da’i Syed agar menjaga perilaku dan berkelakuan seperti seorang pendakwah.
“Dalam isu Da’i Syed ini dah lama. Bukan satu sahaja, banyak isu. Kami tidak berdiam.
Saya khususnya, tidak tidur. Pada 2018 saya tegur tukar gaya rambut sebab tidak sesuai sebagai pendakwah.
“Pada 2023 saya tegur jangan kongsi video tarian sebab pernah viral. Dia terima dan tiada lagi video tarian bersama pasangan,” katanya menerusi video dalam Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, dia turut menunjukkan bukti perbualannya bersama Syed sebelum ini selain komen secara terbuka dibuat Baby Shima.
Bukan itu sahaja, Fuad sekali lagi menegaskan isteri kepada Syed iaitu Hana Ismail tidak sepatutnya turut diseret dalam isu tersebut.
Saya konsisten bahawa kesalahan ini tidak harus diletakkan kepada isteri dan anaknya. Yang salah dan buat jenayah adalah dia (Syed).
“Saya juga seru kepada semua mangsa terus mara ke hadapan untuk suarakan hak anda dan kena ada keberanian,” ujarnya.
Sebelum ini, pelantun lagu Bujang Sarawak dalam satu hantaran dalam Instagram secara terbuka mempersoalkan tindakan rakan-rakan pendakwah terbabit yang dilihat seakan-akan berdiam diri selain membandingkan teguran mereka terhadap golongan selebriti.
Kena puak sendiri, pandai pula suruh netizen diam. Bila puak buat hal semua senyap masuk dalam gua. Buat-buat tak nampak,” komennya.
Jumaat lalu, Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Syaiful, 29, dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas kesalahan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. – HIBGLAM