‘Kita bebas, merdeka hari ini sebab perjuangan orang lama’

MERDEKA itu bebas dan golongan wanita harus tiada rasa gentar untuk keluar daripada kepompong pemikiran lapuk atau stigma negatif yang sering dilemparkan masyarakat.

Itu antara yang dilontarkan tiga wanita ‘kuat’, Uyaina Arshad, Aisha Retno dan Syaidatul Afifah yang menjadi wajah penghias sampul muka depan HibGlam sempena edisi kemerdekaan tahun ini.

Bagi mereka, kemerdekaan yang sudah dicapai negara selama 67 tahun ini membawa pelbagai perubahan, terutama daripada aspek pemikiran masyarakat.

Kebebasan ada limitasi

Bagi pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad, merdeka didefinisikan sebagai satu bentuk kebebasan dalam melakukan setiap perkara, namun tetap harus ada limitasi.

Paling banyak dituturkannya, adalah tentang kebebasan bersuara, namun tetap melahirkan rasa kecewa kerana wujud segelintir individu yang menyalahgunakan kelebihan tersebut terutama dalam media sosial.

Kedengaran klise tapi bagi saya merdeka pastinya kebebasan untuk melakukan apa sahaja selagi tidak melebihi had yang sepatutnya. 

“Kebebasan yang kita rasai hari ini adalah hasil perjuangan tokoh terdahulu, jadi haruslah dijaga sebaik-baiknya dan janganlah biar pemikiran dijajah semula serta kebebasan diragut kerana kesilapan sendiri,” katanya.

Ujar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran itu, tidak semua perkara perlu disuarakan dan dikongsi kepada umum dalam media sosial.

“Jangan guna tiket kebebasan bersuara untuk melondehkan pelbagai aib sendiri.

“Bagi segelintir orang, semua pendapat mereka harus diperdengarkan kepada umum tetapi hakikatnya memakan diri dan menerima kecaman.

“Mungkin mereka terlalu merdeka dan terlebih bebas untuk berkongsi perkara yang tidak sepatutnya,” seloroh hos program Wanita Hari Ini itu.

Melanjutkan bicara, Uyaina sempat menitipkan harapan terhadap golongan muda agar mengambil peduli pengetahuan asas berhubung kenegaraan.

Ujar Uyaina, rakyat zaman sekarang sangat terhutang budi dengan orang atau pejuang lama yang bermati-matian dalam memastikan kemerdekaan negara.

“Sekarang semua sudah berada di hujung jari, jangan ego dan angkuh untuk ambil tahu tentang sejarah negara. Jangan sia-siakan apa yang kita belajar di sekolah begitu sahaja.

“Malu juga melihat wujud segelintir rakyat Malaysia yang tidak tahu perkara asas seperti jumlah negeri atau nama ibu negeri.

Dalam hal ini, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting agar generasi muda tidak hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Seiring semangat kemerdekaan yang sedang hangat di jiwa seluruh rakyat Malaysia, Uyaina turut menyeru rakyat Malaysia membuang stigma negatif terhadap golongan wanita. 

Tuturnya, jangan sesekali mudah menjatuhkan hukum terhadap kaum wanita setiap kali berlaku kejadian menyayat hati.

“Wanita jangan gentar untuk bersuara dan berani ke depan buktikan kemampuan diri, cuma janganlah sampai gadaikan maruah untuk meraih perhatian tersebut.

“Hakikat hari ini, ramai wanita sudah berjaya sehingga di persada dunia, jadi buanglah tanggapan negatif terhadap kaum Hawa,” ujarnya lagi.

Perang media sosial

Sama seperti Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, penyanyi berusia 24 tahun itu turut mendefinisikan kemerdekaan sebagai kebebasan.

“Apa yang saya tahu mengenai merdeka adalah kebebasan sebagai seorang insan untuk bersuara dan bebas daripada penjajahan anasir luar. 

Kita sebagai rakyat bebas melakukan apa sahaja yang kita mahukan asalkan masih dalam peraturan demi menjaga nama baik negara,” katanya. 

Bagaimanapun, naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 itu berpendapat bahawa walaupun tiada peperangan dari penjajah luar tetapi Malaysia masih lagi belum merdeka dari segi pemikiran.  

Aisha berkata, kemerdekaan bukan sekadar angka semata-mata namun juga termasuk inisiatif untuk rakyat Malaysia bebas daripada penjajahan idealogi orang luar.

“Meskipun tiada perang berlaku sekarang tetapi kita ada peperangan dalam media sosial sehingga tercetusnya impak tidak baik seperti kes-kes jenayah yang semakin meningkat. 

“Penggunaan media sosial ke arah kebaikan harus dikekalkan supaya tiada lagi permasalahan seperti penculikan, kes kematian dan jenayah rogol. 

“Kita memang sudah merdeka tetapi ada kemerdekaan yang belum diraih,” ujarnya.

Menukar gelanggang perbualan, Aisha berkongsi momen mengharumkan nama negara sepanjang berada dalam industri selama lima tahun apabila lagu rayanya berjudul Ketipak Ketipung ‘mendunia’ hingga ke Indonesia dan mampu memperkenalkan budaya Malaysia ke mata dunia. 

Alhamdulillah rezeki tahun ini Allah berikan kepada saya dan Aziz Harun apabila lagu Ketipak Ketipung tular ke Indonesia. Kami sejujurnya tidak menyangka lagu ini dikenali selepas single saya W.H.U.T. 

“Peluang ini juga digunakan untuk kenalkan rentak joget iaitu kesenian tradisional Malaysia kepada Indonesia. 

“Selain lagu yang tular, saya juga mampu memperkenalkan irama etnik kita di sana, itu yang lebih membuatkan saya gembira,” jelasnya yang bakal melancarkan single terbaharu, Samudera pada 13 September kelak.

‘Sukan penyatu semangat cintakan negara’

Pernah menjulang nama negara di mata dunia, bekas atlet tenpin bowling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengakui, semangat kemerdekaannya berkobar-kobar setiap kali bertanding di peringkat antarabangsa. 

Mesra disapa Afifah, jiwa merdeka wanita unggul itu tidak terbatas hanya pada tanggal 31 Ogos, sebaliknya semakin terjulang apabila nama Malaysia diumum di pentas dunia dalam setiap pertandingan sukan tenpin.

“Bagi saya, merdeka pastinya tentang perjuangan kita yang menentang penjajah bagi mendapatkan kebebasan.

“Sebagai seorang atlet, perjuangan saya adalah meletakkan nama Malaysia di persada dunia. Saya melihat situasi itu sebagai satu pengorbanan untuk meraih sesuatu iaitu kemenangan.

“Jadi, rasa ingin menang itu juga saya sifatkan seperti keinginan untuk merdeka,” tuturnya.

Tambahnya, dia juga sentiasa bawa semangat kemerdekaan bagi menunjukkan kepada negara lain bahawa Malaysia ini negara yang maju, bersatu dan harmoni.

Dalam masa sama, Afifah mengakui sukan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Setiap kali ada pertandingan besar, saya sangat seronok melihat sokongan rakyat negara ini terhadap atlet bertanding, terharu sangat.

Afifah menyifatkan sukan merupakan antara yang ‘mengikat’ kebersatuaan rakyat Malaysia | Foto FARIZWAN HASBULLAH dan NURUL NAJWA HASRAN (PRAKTIKAL)

“Kita ketepikan semua komen negatif dan sebagainya sebab itu memang lumrah hidup yang perlu dihadap terutama jika kalah.

“Cuma buat masa sekarang, tahap sokongan itu sudah cukup. Jadi, merdeka ini juga membawa kepada penyatuan semua bangsa dan sukan menjadi antara medium terbaik,” ungkap bekas juara acara berpasukan boling wanita Kejohanan Dunia  2017.

Berkongsi momen merdeka yang paling diingati adalah ketika dia terlibat dengan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 pada tahun 2017 selepas memenangi pingat pada Temasya Sukan Sea tahun yang sama.

“Ketika itu semua pemenang pingat emas dikumpulkan untuk sertai perarakan di Dataran Merdeka pada Hari Kebangsaan.

Kami semua memakai baju atlet Malaysia dan ketika melalui di hadapan orang ramai, kami dapat sorakan gemuruh. 

“Waktu itu rasa terharu dan bulu roma meremang sebab semangat kesukanan yang rakyat Malaysia tunjukkan buat kami rasa dihargai, terima kasih semua atas sokongan itu,” tuturnya yang juga pelakon drama Ratu Tenpin arahan Jinggo.

BAGI Uyaina, Afifah dan Aisha, kemerdekaan sebenar juga satu bentuk kebebasan pemikiran, bijak dan tidak dangkal dalam menyuarakan pendapat, khususnya dalam media sosial | Solekan Manda Zuhairy dan Iqbal Rafael. Busana (jaket putih) Syaidatul oleh Behati

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok