“ALHAMDULILLAH dah sihat. Insya-Allah, sudah boleh kerja dan ke sana-sini.”
Demikian kata pelakon Zara Zya selepas melalui episod panjang keluar masuk hospital bagi mendapatkan rawatan beberapa penyakit yang dideritainya.
Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 38, berkongsi keadaan terkini kesihatannya apabila ditanya pengikutnya ketika bersiaran langsung dalam TikTok.
Menurut Zara, dia kini sudah kembali aktif melakukan aktiviti membabitkan fizikal dan rasa bersemangat.
Penghujung Mei lalu, Zara berkampung di hospital selama dua minggu bagi menjalani pembedahan membuang fibroid dan sista (cyst).
Tidak hanya itu, dia turut menjalani rawatan sakit pada tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Masalah kesihatan itu dikesan selepas Zara melakukan pemeriksaan penyakit arthritis pada peringkat awal.
Beberapa minggu kemudian Zara kembali dimasukkan ke hospital akibat mengalami jangkitan kuman.
Jangkitan berkenaan dikesan pada bahagian pembedahan membuang cyst dan fabriod. – HIBGLAM