PENYANYI Syada Amzah mengakui video ucapan sempena ulang tahun kelahiran yang dimuat naik dalam media sosial baru-baru ini sebagai tanda dia merindui kakaknya, Shila Amzah selepas hampir setahun tidak bertemu.
Menurut Syada atau nama penuhnya Nursyuhada Amir Amzah, 26, video tersebut hanyalah ucapan normal yang sering dilakukan oleh setiap adik-beradik.
“Kami semua rindu dia, normal sebab darah daging.
Video itu tiada makna apa-apa pun apatah lagi untuk orang luar nak jadikan isu
“Saya percaya, perkongsian itu hanya ucapan antara adik-beradik dan itu cara saya pamerkan apresiasi serta tiada maksud lain sama sekali,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Tambah Syada, perkongsian video tersebut sekali gus membuktikan hubungannya dengan pelantun lagu Patah Seribu itu baik dan mereka masih berkomunikasi sehingga hari ini.
Selepas muat naik video itu, kami ada mesej. kami selalu berhubung dan tiada masalah pun.
“Apabila orang kerap fikir benda buruk tentang hubungan kami, saya biarkan sahaja.
“Saya seorang yang sangat sentimental, benda itu semua ada mesej tersirat dan itu cara saya pamerkan kerinduan terhadap adik-beradik,” katanya lagi.
Melerai tanda tanya ramai, Syada menegaskan tidak pernah bermusuhan dengan kakaknya dan menganggap pertelingkahan antara mereka hanya pergaduhan normal adik-beradik.
“Nak kata bergaduh pun, kami tak bercakaran. Semua itu hubungan normal adik-beradik.
Hari ini tak bercakap, esok sudah bersayang-sayang. Kadang-kadang baru masuk kereta lima minit pun sudah rasa rindu.
“Nak kata dari awal gaduh pun tidak. Sekarang semuanya normal, hubungan sejak kecil masih sama,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, dia mengakui sudah hampir setahun tidak bertemu dengan kakaknya termasuk anak kedua Shila iaitu Rhea Akira yang baru dilahirkan pada Mei lalu.
“Setakat ini sudah setahun tak bertemu, kali terakhir adalah pada hari perkahwinan kakak iaitu Ogos tahun lalu.
Saya juga belum berkesempatan jumpa anak buah sebab jadual sangat padat dan masa kami selalu bertembung,” jelasnya.
Terdahulu, Syada menuai perhatian ramai apabila memuat naik sebuah video ucapan hari lahir yang menggabungkan koleksi gambar bersama Shila.
Perkongsian tersebut seterusnya mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mendakwa dia masih ditanggung Shila dari segi kewangan.
Sekitar tahun lalu, Shila terjebak dengan konflik bersama ibunya, Fauziah Sarman, Syada dan abangnya, Amir Syafiq berkenaan isu penjualan rumah banglo di Hulu Langat.
Sementara pada April lalu, Shila yang ketika itu hamil anak kedua memberitahu belum bersedia untuk bertemu ibunya bagi mengelak sebarang gangguan emosi. – HIBGLAM