DIDENDA atas kesalahan memandu kereta tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans, penyanyi Nabila Razali memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan pada Januari lalu.
Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd. Razali, 31, mengakui pacuan empat roda dipandu ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, merupakan kenderaan yang didaftar atas namanya.
Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan kepada ibu dan masih atas nama saya. Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya turut terpalit.
“Saya akui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu.
Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain itu, pelantun lagu Tangis itu berharap perkara tersebut dapat dijadikan iktibar.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan sahaja buat saya dan ibu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” ujarnya.
Semalam, Nabila dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah kerana memandu kereta tanpa LKM dan perlindungan insurans.
Mengikut pertuduhan, Nabila sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu dengan LKM tamat tempoh pada 29 September tahun lalu dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga. – HIBGLAM