HAJAT tercapai, penyanyi Sufi Rashid lega dapat memenuhi keinginan isterinya, Nurulain Md Yusof menonton konsert penyanyi terkenal, Adele di Jerman.
Sufi atau nama sebenarnya, Muhammad Sufian Rashid, 33, berkata, tiket bagi menyaksikan persembahan mega penghibur antarabangsa terbabit ditempah sebelum teman hidupnya itu disahkan hamil.
Moga awak merasakan cinta saya. Percutian berdua-duaan kita sebelum puteri kecil hadir.
“Beli tiket sebelum isteri hamil dan saya berdoa kita sempat menyaksikan konsert Adele ini.
Alhamdulillah, gembira awak menikmatinya sayang,” tulisnya dalam Instagram.
Sementara itu, Nurulain atau mesra disapa Ain yang kini hamil enam bulan mengakui terharu sehingga menitiskan air mata melihat penyanyi kesayangan menyanyi depan mata.
Saya sedikit sebak dan tersentuh hati menyaksikan persembahan Adele. Impian jadi kenyataan,” katanya menerusi video dikongsikan dalam TikTok.
Pasangan terbabit dilihat menikmati konsert tersebut dengan sepuas-puasnya, bahkan Ain turut memuatnaik rakaman Adele mendendangkan rangkaian lagu hits termasuk All I Ask, Set Fire To The Rain dan Someone Like You.
Sebelum ini Sufi memaklumkan bakal membawa isterinya terbang ke Jerman untuk menonton konsert Adele disebabkan memenuhi keinginan mengidam insan kesayangannya itu.
Ain dijangka melahirkan anak sulung mereka yang juga bayi perempuan pada November depan.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 21 September 2019. – HIBGLAM