PENYANYI dan pelakon, Che Puan Jeslina Hashim selamat bernikah dengan kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Eddy Nasruan Adil Tunku Mudzaffar dalam sebuah majlis tertutup, hari ini.
Berita gembira terbabit dikongsi pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim yang kini menjadi biras kepada penyanyi berusia 46 tahun itu.
“Hari yang indah dan majlis yang indah bagi meraikan akad nikah adik ipar saya Eddy Mudzaffar bersama Jeslina Hashim.
“Semoga Allah menjaga dan merahmati kalian berdua agar sentiasa gembira, sihat dan terus bersama hingga jannah,” katanya dalam hantaran Instagram.
Sarimah hadir ke majlis tersebut bersama suaminya, Tunku Nadzimuddin dan anak mereka, Tunku Sofia Najihah, 4.
Difahamkan, pernikahan pasangan yang sudah lapan tahun menjalin hubungan cinta itu diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menerusi video, mempelai menggayakan persalinan sedondon serba putih, bahkan pengantin perempuan turut menitiskan air mata gembira sebelum upacara menyarung cincin.
Sebelum ini, Jeslina pernah mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Micah, 15, dan Keira, 13.
Tunku Eddy yang juga adik kepada suami Sarimah adalah cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 dan dan Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar.- HIBGLAM.