PELAKON Kamal Adli menafikan khabar angin dirinya mempunyai masalah disiplin kerana gagal mengikut ‘call time’ yang ditetapkan pihak produksi.
Tampil mempertahankan dirinya, Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 38, berkata, dia tidak pernah mempunyai masalah sebegitu sepanjang 15 tahun bergelar anak seni.
Saya sudah berlakon selama 15 tahun dan tiada masalah pun dengan isu ‘call time’. Sebagai pelakon, saya sendiri tahu nak ikut ‘call time’ macam mana.
“Contohnya, kalau ‘call time pukul 8 pagi, saya tidak akan sampai tepat pada waktu sebab saya bukan jenis yang akan bersarapan dan bersolek seperti pelakon lain.
Ketika tiba di set penggambaran, rambut pun sudah siap cuma tukar baju untuk berlakon,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan filem Takluk: Lahad Datu, hari ini.
Tambah suami kepada pelakon, Uqasha Senrose itu, dia tidak berasa risau dengan dakwaan tersebut kerana individu yang sudah bekerja dengannya sebelum ini tahu kisah tersebut.
Individu yang pernah dan biasa bekerja dengan saya pasti tahu perkara ini.
“Saya rasa benda ini tidak ada isu. Ini perkara lama,” katanya lagi.
Terdahulu, sebuah produksi mendakwa Kamal gagal mematuhi masa penggambaran yang ditetapkan selain menyusahkan kru produksi yang terlibat.
Selain Kamal yang menjayakan watak anggota khas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT69 bernama Jai, filem tersebut turut dibintangi Syafiq Kyle, Fikry Ibrahim dan Eman Manan.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos depan. – HIBGLAM