PELAKON Muaz Zabir mengakui masih belum bersedia melakonkan watak berat Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana bimbang tidak mampu memberikan yang terbaik.
Bukan tidak mahu mencabar diri, Muaz, 26, berkata, dia memerlukan masa untuk menjayakan karakter sebegitu apatah lagi dirinya masih hijau dalam dunia lakonan.
“Ketika ini saya takut nak bawa watak OKU, masih belum bersedia sebab karakter itu berat dan sensitif.
Nak lontarkannya juga bukan senang sebab kita sendiri tidak pernah melaluinya. Kalau dapat watak orang buta, kita sendiri belum tentu boleh berjalan sambil tutup mata,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Selain OKU, hati bintang drama Bawah Payung Awan itu juga masih belum terbuka untuk menerima tawaran bagi karakter lelaki lembut atau berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Jelas Muaz, keadaan mentalnya juga perlu kuat sekiranya ingin menjayakan watak sebegitu yang pasti akan dihujani dengan pelbagai komen negatif daripada masyarakat,
“Kemudian satu lagi watak yang saya mahu cabar diri iaitu sebagai lelaki lembut tetapi belum bersedia untuk lakukannya kerana semua itu melawan norma masyarakat.
Watak-watak sebegini perlukan masa dan ‘homework’ yang banyak. Mental saya pun belum bersedia untuk terima kecaman orang kalau lakonkan karakter sebegitu.
“Memang teringin tapi bukan dalam masa terdekat. Berilah saya bersedia dahulu, kutip ilmu sebanyak mungkin dan insya-Allah kalau ada ditawarkan satu hari nanti, saya mampu lakukan,” ujarnya.
Dia bagaimanapun menegaskan akan menerima tawaran tersebut selepas memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk melakukannya.
“Buat masa sekarang, saya selesa dengan watak-watak yang dijayakan ketika ini. Insya-Allah kalau sudah bersedia, pasti akan lakukan.
“Saya akan pastikan diri dibimbingorang hebat (kelas lakonan) untuk jayakan watak sebegitu supaya tak makan diri sendiri,” katanya lagi. – HIBGLAM