LEBIH lima dekad melakar kemasyhuran sebagai band rock ikonik, Aerosmith mengumumkan bersara daripada mengadakan konsert berikutan kecederaan pita suara penyanyinya.
Keputusan menyedihkan dibuat kumpulan asal Boston, Amerika Syarikat itu dipercepatkan berikutan kondisi vokal Steven Tyler, 75, yang tidak dapat pulih seperti sedia kala.
Sekali gus, Aerosmith tidak menyambung konsert jelajah dunia yang masih berbaki di beberapa venue sedangkan mengikut perancangan asal mereka hanya akan mengucapkan selamat tinggal selepas siri jelajah tamat.
“Tahun 1970 adalah apabila percikan inspirasi menjadi sebagai Aerosmith. Terima kasih kepada anda, Blue Army (peminat) yang setia, percikan itu menyala dan terus hangat selama lima dekad.
“Anda telah bersama kami sejak awal dan anda semua adalah alasan kami melakar sejarah rock ‘n’ roll.
“Ini merupakan penghormatan dalam hidup kami untuk menjadikan muzik kami sebahagian hidup anda,” kata band tersebut dalam Instagram.
Menurut kenyataan tersebut, Aerosmith dapat berkongsi karya sepanjang
Menurut kenyataan tersebut, Aerosmith dapat berkongsi karya sepanjang tempoh ditubuhkan sejak 1970 adalah atas sokongan pasukan belakang tabir, kru serta peminat.
“Setiap persembahan di kelab mahupun jelajah besar-besaran, anda memberikan kami tempat dalam kehidupan anda sehingga kami selalu ingin membuat anda terpesona setiap kali kami muncul.
“Ucapan terima kasih terakhir kepada anda, penggemar terbaik di dunia. Dengar lagi muzik kami dengan lebih kerap, sekarang dan selamanya.
“Teruslah Bermimpi. Kalian telah merealisasikan mimpi kami,” tulis kenyataan itu lagi.
Ujar perkongsian sama, suara Tyler adalah instrumen penting namun selepas berbulan-bulan mencari penawar untuk pulih, mereka membuat keputusan ini secara bersama sebagai ahli kumpulan dan keluarga.
Sebelum ini penyanyi terbabit dikhabarkan sudah lama mengalami masalah pada pita suaranya sehingga perlu menjalani rawatan intensif bagi memulihkan keadaannya.
Bahkan atas sebab sama band yang popular dengan lagu I Dont Want Miss A Thing itu juga menangguhkan konsert Peace Out… Farewell Tour pada September 2023.
Berdasarkan jadual, sepatutnya jelajah tersebut bakal ditamatkan di Buffalo, New York pada 26 Februari 2025.
Aerosmith juga sudah lama tidak merakamkan karya baharu apabila album terakhir mereka, Music From Another Dimension diterbitkan pada 2012, manakala album solo terakhir Tyler pula adalah pada 2016.
Selain Tyler, kumpulan itu dibarisi Joe Perry selaku pemain gitar, Tom Hamilton (bes), Joey Kramer (dram) dan Brad Whitford (gitar).
Sepanjang tempoh gemilang, Aerosmith pernah menerima gelaran Rock and Roll Hall of Fame selain memenangi anugerah Grammy sebanyak empat kali.
Sementara itu, peminat tertanya-tanya perjalanan karier band terbabit selepas ini kerana difahamkan untuk Tyler pulih sepenuhnya adalah mustahil. – HIBGLAM