PELAKON meningkat naik, Jazmy Juma menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan heroin gandingannya dalam drama Nuh dan Nayla, Scha Elinnea seperti yang hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut Jazmy atau nama penuhnya Jazmy Khan Juma Khan, 26, segala kemesraan yang dipamer dalam media sosial hanyalah sekadar konten bagi mempromosikan drama tersebut.
Semua itu dibincangkan, kami dan bahagian promosi rancang untuk dapatkan semua ini.
“Alhamdulillah semuanya (perancangan) berjalan dengan baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menjawab kekecewaan ramai yang mahu melihat mereka bercinta secara realiti, Jazmy berkata, dia dan Scha hanya menjalankan tugas sebagai pelakon mengikut kehendak watak.
Ujarnya, keterujaan ramai terhadap lakonan dan keserasian mereka dalam drama membuktikan berjaya melakonkan karakter tersebut dengan cemerlang.
“Orang harap jadi realiti? Maknanya kami berjaya membawa watak dan keserasian Nuh & Nayla itu dengan baik.
Semuanya (cinta) dalam set penggambaran sahaja, di luar memang tiada. Saya tidak terbawa-bawa.
“Saya dan Scha bawa watak kami secara profesional sahaja,” ujarnya.
Semalam, HibGlam melaporkan Scha mengakui selesa berkawan dengan Jazmy yang disifatkan sentiasa menyokong dan memberikan respons positif terhadapnya.
Sebelum ini, ramai suka melihat keserasian Scha dan Jazmy dalam drama Nuh & Nayla hingga rata-rata berharap mereka menjadi pasangan kekasih di luar set. – HIBGLAM