PENYANYI Syahrini dianugerahkan hadiah paling istimewa sempena ulang tahunnya yang ke-44 apabila menimang cahaya mata pertama pada 1 Ogos lalu.
Ujar Syahrini atau nama sebenarnya Rini Fatimah Zaelani, 44, kesabaran mendapatkan zuriat selama lima tahun dimakbulkan sekali gus membuahkan kemanisan dalam hidupnya dan suami, Reino Barack.
“Terima kasih Ya Rabb. Bertambahnya usia tahun ini dan hari ini bertepatan dengan kelahiran buah hati kami.
“Penantian panjang yang berhujung indah, pencapaian dari kesabaran dan bakal tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu semata-mata atas reda dan izin-Mu,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran dalam laman sosialnya, penyanyi lagu Jangan Memilih Aku itu turut memuatnaik gambarnya memegang kaki tanpa menunjukkan wajah si kecil.
Bayi perempuan tersebut hanya dipanggil sebagai ‘Princess R’ yang ditunjukkan menerusi selimut merah jambu yang membaluti tubuhnya.
Bahkan Syahrini juga tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan buat teman hidupnya yang sentiasa di sisi.
“Selamat datang Princess R. Terima kasih untuk suami ku yang sentiasa bersiap sedia sepanjang tempoh ini. Selamat datang ke dunia ‘fatherhood’.
Sementara itu, adik kepada penyanyi terbabit, Aisyahrani yang menemaninya di Singapura mendedahkan bayi tersebut sangat comel.
“Alhamdulillah ya Allah, terima kasih ya Allah Allahuakbar. Baby R kamu cantik sekali, comel sekali. Digendong, kamu buka mata,” katanya.
Sebelum ini kehidupan serba mewah Syahrini termasuk kerap bercuti ke luar negara menaiki pesawat peribadi sentiasa menjadi sorotan ramai.
Bahkan netizen juga tidak sabar menanti kelahiran permata hati pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2019 itu kerana yakin si kecil juga bakal dilimpahi kesenangan luar biasa.
Menerusi perkongsian yang kerap dilakukan Syahrini, bilik nurseri anaknya itu mendapat sentuhan pereka selain pakaian dan selimut si kecil pula meliputi jenama tersohor termasuk Louis Vuitton. – HIBGLAM