SELEPAS 10 hari ditahan dalam wad sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor akibat keletihan melampau penyanyi Datuk Nora Ariffin kini dibenarkan pulang ke rumah.
Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 50, berkata, sepanjang ditahan dalam wad, dia menjalani pemeriksaan penuh sebagai langkah berjaga-jaga dijangkiti sebarang virus atau penyakit berbahaya.
“Ya, saya ditahan di wad sejak Isnin minggu lalu. Saya lebih kepada penat sangat. Badan terlampau letih.
“Saya cuma risau ada jangkitan virus atau demam sebab sekarang macam-macam penyakit tetapi selepas buat pemeriksaan doktor sahkan tiada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang mahupun kanser.
“Umur saya sudah 51 tahun, usia begini memang kena berjaga-jaga dan tidak boleh ambil mudah terutama banyak berita orang sihat tiba-tiba sakit atau meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Di Persimpangan Delima itu turut memaklumkan sebelum dimasukkan ke wad pada 22 Julai lalu, jadual kerjanya padat dengan proses penghasilan lagu baharu.
“Saya pun memang perasan agak penat kebelakangan ini kerana sibuk menyiapkan rakaman single terbaharu.
“Sudah lama tidak masuk studio, tiga jam berdiri agaknya badan lama tidak bekerja. Balik sahaja daripada rakaman badan saya menggigil.
“Keesokan harinya ke klinik kerana demam tidak kebah dan terus dihantar ke hospital kerana takut ada jangkitan,” ujarnya.
Begitupun, selepas keluar dari hospital, doktor menasihatkan Nora hanya berehat di rumah bagi mengelakkan tekanan agar kesihatannya pulih dengan kadar segera.
“Doktor suruh rehat di rumah sahaja dalam dua, tiga hari tanpa melakukan sebarang kerja atau memandu kereta dalam tempoh perjalanan panjang.
“Paling penting doktor harap saya jangan stres. Bila tekanan muncul, semua fungsi organ jadi tidak betul dan mudah diserang sakit.
“Jadi, doktor bekalkan segala ubat untuk dimakan. Nak tak nak saya kena hadap,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Nora pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh hari di sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor akibat sesak nafas. – HIBGLAM