Spider, Ella, Masdo gegarkan malam ambang merdeka

TIGA bintang ternama tempatan iaitu Spider, Masdo dan Ella bakal menggegarkan Spice Arena, Pulau Pinang pada 30 Ogos sempena malam ambang merdeka.

Gabungan nama besar dalam Konsert Mahardika bakal menyuntik pengalaman indah buat peminat muzik tempatan terutama pada hari bersejarah Malaysia.

Konsert tersebut juga bakal mengumpulkan pelbagai lapisan generasi memandangkan adanya Spider yang terkenal sekitar hujung tahun 90-an selain Masdo yang mempunyai peminat dalam kalangan anak muda.

Tidak dilupakan buat penggemar muzik rock, konsert anjuran The Dons Group itu menampilkan ratu rock Ella yang menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa pengunjung.

KONSERT Mahardika bakal diadakan pada 30 Ogos di Spice Arena, Pulau Pinang menjanjikan kepuasan dengan adanya band otai, Spider.

Pengarah Urusan, Syed Mohamad berkata, nama Mahardika yang diambil adalah bersempena singkatan malam merdeka.

Konsert di Pulau Pinang itu dinamakan Mahardika yang juga gabungan akronim kepada Malam Hari Merdeka.

“Kami sengaja memilih nama tersebut kerana sesuai dengan tarikh yang dipilih iaitu 30 Ogos 2024 bersempena malam ambang merdeka,” katanya.

Mengenai pemilihan artis, Syed atau lebih mesra disapa Don itu memaklumkan, barisan bintang dipilih bersesuaian tema konsert.

Kami melihat Spider, Ella dan Masdo sangat sesuai dengan tema konsert kerana ketiga-tiga pemuzik ini mempunyai perjuangan masing-masing dan melakar sejarah tersendiri.

“Pada masa sama, kami mahu melihat peminat dalam kalangan pelbagai usia hadir ke Mahardika dan menonton sendiri betapa hebatnya pemuzik tempatan yang tidak kurang dari artis luar,” ujarnya lagi.

MASDO antara pemuzik yang bakal menggamatkan Konsert Mahardika 30 Ogos nanti. – AFIQ RAZALI

Sejak kaunter tiket maya dibuka pada 23 Jun lalu, lebih 50 peratus tempat duduk sudah ditempah, sekali gus Don berharap 10,000 pengunjung memenuhi Spice Arena, Penang itu nanti.

“Sasaran kami lebih 10,000 peminat yang hadir untuk menyaksikan Konsert Mahardika nanti. Kami percaya Masdo, Ella dan Spider mempunyai pengikut tegar yang menyebabkan kami berani meletakkan sasaran tinggi.

Sehingga hari ini, sudah lebih 50 peratus tiket terjual. Kami percaya dengan meletakkan sasaran 10 ribu penonton sudah memadai.

“Meskipun Spice Arena boleh membuatkan sekitar 12,000 pengunjung dalam satu masa tetapi 10,000 sudah cukup untuk memberi keselesaan kepada peminat,” tutupnya.

Penjualan tiket masih berjalan seperti biasa dan peminat yang ingin membeli boleh layari laman sesawang www.ticket2u.com.

Harga tiket bermula dari RM98 (standing), RM118 (silver zone), RM128 (rock zone), RM148 (platinum), RM198 (gold) dan RM350 (VIP). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok