‘Sudah penat, terima kasih yang menghargai’

LEBIH tiga dekad berkelana dalam industri seni, Ning Baizura melalui kehidupan sarat warna.

Umpamanya, nilai pengalaman diraih lebih mahal jika dibandingkan dengan wang ringgit.

Bercakap soal kontroversi, tentunya dia merupakan antara artis angkatan 90-an sarat kontroversi, ada sahaja tingkah laku tidak kena di mata khalayak.

Pelbagai onak dan duri menerjah ke ruang penglibatannya sepanjang menjadi anak seni, ironinya, dia kekal dan bertahan sehingga ke hari ini.

Dia pernah berada di tahap paling popular, kemudian menjunam dan kini tetap relevan di hati peminat.

KREDIBILITI nyanyian dipertikai dan disifatkan menyanyi seperti sambil menguap, Ning terima segala kritikan dengan hati terbuka.

Sebagai penyanyi, Ning dianggap cukup matang jika melihat kepada pengalaman-pengalaman masa lampau yang telah ditempuhinya.

Pun begitu, setegar mana hati manusia, pasti suatu masa akan tercalar jua dek kutukan khalayak.

Situasi sama dialami wanita berkulit hitam manis itu yang mengakui terkesan dengan tohmahan dan kecaman netizen dalam media sosial, terutama saat dilabel ahli neraka dan kafir.

Semuanya gara-gara dia tidak mengetahui maksud ‘All Eyes on Rafah’ sekali gus memberi bayangan, kononnya tidak cakna isu semasa, khususnya peperangan di Palestin yang entah bila habisnya.

Begitupun, pemilik nama sebenar Ning Baizura Sheikh Hamzah itu enggan membiarkan keadaan menjejaskan kerjaya dan kehidupan seharian, terutama kesihatan mentalnya yang ketika ini berada dalam kondisi terbaik.

“Bohong kalau saya cakap tidak terasa. Saya juga ada hati dan perasaan. Tetapi bila difikirkan semula, kenapa saya perlu menjadi seperti kura-kura (bersembunyi) apabila saya boleh menjadi cengkerang yang melindunginya.

“Kita hidup pada tahun 2024, bakal memasuki 2025. Tiada siapa yang boleh merampas kekuatan atau menolak saya ke tepi.

“Apa saya boleh buat adalah terus hidup dan terus kuat,” katanya kepada
HibGlam.

BAGI memenuhi permintaan peminat setianya, Ning bakal melancarkan beberapa buah single baharu bergenre balada berat dalam masa terdekat.

Menjalani hidup sebagai manusia biasa yang sering menjadi mangsa buli siber, wanita berusia 49 tahun itu juga mengakui sudah penat melayan komen negatif dan tenang memilih untuk lebih berdiam diri.

Katanya, tenaganya perlu digunakan untuk muzik dan kerjaya dan bukannya melayan komen-komen tidak membina.

“Saya sudah penat sekat dan laporkan kecaman yang menggunakan akaun palsu. Tindakan itu membazir masa dan tenaga.

“Tenaga saya sepatutnya digunakan untuk muzik dan kerjaya. Saya bukannya baru setahun dua dalam dunia seni untuk memberi perhatian kepada semua itu.

“Terima kasih kepada peminat yang selama ini mempertahankan saya. Jadi saya dedikasikan muzik dan penghargaan kepada peminat,” luahnya.

Masih bercakap tentang kecaman, bukan sahaja isu Palestin, Ning juga berdepan kritikan teruk mengenai nyanyiannya yang dikatakan pelik dan seperti menyanyi sambil ‘menguap’.

Mengamalkan sifir sama, pelantun Selagi Ada Cinta itu enggan mengambil pusing cakap-cakap netizen yang mempersoal keupayaan nyanyiannya ketika usia sudah menjangkau 50 tahun.

MENGUTAMAKAN kesihatan mentalnya, Ning mahu menempuh hari-hari mendatang dengan ceria.

Kata Ning, masyarakat berhak berkata apa sahaja meskipun bukan semua dalam kalangan mereka tahu perjalanan yang ditempuhnya.

Mereka boleh persoalkan, tapi bukan mereka yang bayar gaji saya. Jadi, okey sahaja. Saya sayangkan pengkritik saya.

“Nyanyian adalah kejujuran. Anda melihat kekuatan dan kelemahan saya.

Orang boleh berkata apa sahaja, hakikatnya mereka tidak tahu cabaran yang saya lalui.

“Kepada yang tidak berminat mengetahui tentang kesukaran yang saya hadapi, silakan sekat saya dalam media sosial,” ujarnya tenang. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok