SUAMI cedera ketika bermain bola sepak, penyanyi Shila Amzah menitipkan pesanan kepada orang ramai agar segera ke hospital jika berdepan kemalangan di padang.
Ujar Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, pengadil juga perlu lebih peka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dengan bertindak segera demi keselamatan pemain.
Selepas ini, pengadil kena peka. Lama dah member terbaring dekat padang baru nak tiup wisel.
“Kepada para suami, selepas mengalami kemalangan terutama di kepala dan lutut, pergi sahaja ke hospital,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menurut penyanyi lagu Patah Seribu itu, dia menyedari kebanyakan lelaki termasuk suaminya, Ubai, 26, takut untuk ke hospital atas alasan tertentu.
“Apa la takut sangat nak pergi hospital? Saya perasan ramai betul lelaki takut hospital.
Apabila dah teruk baru nak pergi. Ubai tiada pilihan nak takut hospital sebab dia tahu saya paling utamakan bab-bab kesihatan ini,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, Shila yang juga ibu kepada dua anak itu turut meminta orang ramai mendoakan Ubai segera sembuh.
Semalam pempengaruh media sosial itu memaklumkan dirinya terjatuh sewaktu bermain bola sepak dan pening seharian akibat hentakan kuat pada belakang kepalanya.
Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan berlaku pendarahan pada bahagian tulang tengkuk yang memerlukan tempoh enam bulan untuk sembuh sepenuhnya.
Terdahulu, Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli turut memuat naik video yang menunjukkan dia bertembung dengan pemain lain sewaktu bermain bola. – HIBGLAM