5 bintang Korea pemilik agensi

KITA sering melihat kebolehan selebriti hanya menyanyi atau berlakon bagi membuatkan nama mereka terus kekal relevan dalam industri hiburan.

Namun, siapa sangka mereka bergelut mencari syarikat pengurusan terbaik yang mampu melonjakkan nama dan menjadi jenama kukuh di pentas global.

Disebabkan itu, ada antara penggiat seni sanggup melabur dan memerah otak demi membina agensi sendiri sebagai strategi mengekalkan populariti mereka seterusnya menakluk pasaran antarabangsa.

Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa selebriti Korea yang berjaya membina agensi sendiri selepas menamatkan kontrak dengan syarikat pengurusan terdahulu.

Lebih membanggakan, agensi mereka turut menguruskan kerjaya ramai selebriti dan berjaya.

Jennie Blackpink

SEBELUM ini kumpulan Blackpink pernah menjadi perbualan ramai apabila dikatakan tidak lagi terikat dengan agensi YG Entertainment untuk aktiviti solo.

Tidak lama kemudian, khabar angin mengenai anggotanya iaitu Jennie menubuhkan agensi sendiri yang diberi nama Odd Atelier pula tersebar luas.

Setelah diselidik, memang benar pemilik nama lengkap Kim Jennie itu membangunkan syarikat pengurusan terbabit sejak November tahun lalu bagi mengendalikan karier solonya.

Bagaimanapun aktiviti bersama Blackpink masih di bawah YG Entertainment.

Kang Daniel

 

PADA Jun 2019, penyanyi Kang Daniel menubuhkan agensi sendiri yang diperkenalkan sebagai Konnect Entertainment.

Langkah itu diambil pemilik nama sebenar Kang Eui-geon itu selepas keluar dari LM Entertainment sebaik sahaja menyelesaikan komitmennya bersama kumpulan Wanna One pada Januari 2019.

Selain Kang Daniel, Konnect Entertainment turut menguruskan kerjaya seni Chancellor dan Yuju.

Donghae, Eunhyuk Super Junior

DUA ahli Super Junior iaitu Donghae dan Eunhyuk sepakat mendirikan agensi ODE Entertainment pada 1 September tahun lalu.

Agensi tersebut direalisasikan selepas kontrak bersama SM Entertainment tamat sebulan sebelum tarikh penubuhan syarikat mereka.

Bagaimanapun, menurut sumber, Donghae dan Eunhyuk mengekalkan hubungan baik dengan SM Entertainment.

Bahkan, kedua-dua penyanyi yang mempunyai kelompok peminat tegar itu juga masih bekerjasama dalam setiap aktiviti Super Junior.

PSY

SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi terkenal PSY yang mendunia dengan lagu Gangnam Style.

Pemilik nama sebenar Park Jae-sang itu membangunkan agensi sendiri PNation pada 2018 selepas mengakhiri kontrak dengan YG Entertainment.

Lebih mengagumkan, PNation juga menguruskan beberapa artis ternama seperti Jessi, HyunA, DAWN, Crush, Heize, D.Ark, Penomeco, Hwasa dan TNX.

Lee Byung-hun

Syarikat gah BH yang menjadi payung berteduh ramai selebriti hebat rupa-rupanya milik aktor tersohor Lee Byung-hun.

Bintang siri Netflix Squid Games itu mendirikan agensi tersebut pada 2006 untuk mengasah bakat muda.

Agensi terbabit melahirkan ramai bintang ternama Korea Selatan seperti Kim Go-eun, Park Hae-soo, Park Bo-young, Go Soo, Lee Jin-wook, Han Hyo-joo dan Jinyoung dari kumpulan GOT7. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok