Kalau dia milikku, dia akan kembali milikku – Nedim

KURANG sehari mengejutkan ramai dengan berita perceraian, ahli perniagaan Nedim Nazri sekali lagi mencuri perhatian apabila menzahirkan keyakinan bahawa jodohnya dengan bekas isteri, Nora Danish akan kembali bertaut jika diizikan Tuhan.

Menurut pemilik nama sebenar Nedim Sujak Nazri, 41, itu, tiada apa yang berubah cuma Nora kini bukan lagi isterinya jika merujuk lunas agama.

Tiada apa yang berubah cuma dia (Nora) bukan milikku dalam Islam.

“Percayalah. Kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” tulis Nedim menerusi Instagram.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen termasuk rakan artis memberi kata-kata semangat buat Nedim dan mendoakan agar dirinya kuat mendepani ujian itu.

Tidak kurang juga ada yang berharap agar Nedim dan Nora Danish bertemu jodoh kembali.

“Insya-Allah, amin,” komen pelakon Sharnaaz Ahmad.

Mereka yang berpisah, saya pula sedih sebab suka lihat pasangan ini.

“Semoga berjodoh kembali seperti Diana Danielle dan Farid Kamil,” luah netizen.

Malam tadi, dunia hiburan tempatan digemparkan dengan berita perceraian Nora, 42, dengan anak kepada ahli politik negara, Mohamed Nazri Abdul Aziz itu yang memilih untuk berpisah secara baik.

Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam tadi menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.

Nora dilapor mengaku dia dan Nedim berusaha menangani situasi sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak mereka.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok