BERGELAR ibu pada usia agak lewat, pelakon Ainul Aishah bagaimanpun bersyukur kerana impiannya untuk memiliki zuriat akhirnya jadi kenyataan.
Menurut Ainul, nikmat dianugerahkan cahaya mata sukar diterjemahkan dengan kata-kata apatah lagi memang menjadi angan-angannya sejak dahulu untuk bergelar ibu muda.
Namun, Ainul reda apabila lewat bertemu jodoh, sekali gus hanya berpeluang mendapat anak sulung ketika berumur 39 tahun.
Sekarang saya bergelar seorang ibu. Kami sayang anak kami, Kara Isabel.
“Semoga membesar dengan baik, sihat dan bijak anak mommy.
Sebenarnya sejak usia 20-an saya sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu, cuma jodoh saya sampai lambat,” katanya menerusi Instagram.
Dalam masa sama, Ainul atau Ainul Aishah Azizun tidak merungut dengan takdir sebaliknya akan menjaga amanah Allah sebaik mungkin.
“Saya akui perjalanan saya panjang dan mencabar untuk sampai ke tahap ini, saya tak mengeluh tetapi sangat bersyukur kepada Allah.
Akhirnya hidup saya lengkap dan saya berjanji untuk jaga anak saya sehingga hujung nyawa.
“Kurniaan ini sangat bermakna kerana dia adalah amanah dan tanggungjawab untuk saya,” jelasnya.
Pada 29 Mei lalu, pelakon filem Nana Tanjung itu selamat melahirkan puteri sulungnya yang bernama Kara Isabella.
Sebelum ini, dia mengumumkan bakal menimang zuriat pertama pada Februari lalu selepas hampir tiga tahun berkahwin.
Ainul dan suaminya, Khalid Redzuan mendirikan rumah tangga pada 18 September 2022. – HIBGLAM