Usia 26 tahun, Westlife kekal relevan tetap ‘sold out’

DALAM ribut persinggahan ramai penghibur antarabangsa turun menghiburkan rakyat Malaysia, sambutan peminat tegar terhadap kumpulan Westlife tidak pernah surut bahkan sentiasa hangat sehingga semua tiket konsert kumpulan itu sold out.

Konsert Westlife The Hits Tour 2024 yang berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada Ahad lalu menjadi bukti kesetiaan pengikut tegar barisan penghibur asal Ireland itu.

Jeritan lebih 5,000 penonton dari pelbagai peringkat usia sebelum tirai dibuka bergema di segenap gelanggang berprestij di pusat peranginan tanah tinggi berkenaan.

“Westlife! Westlife! Westlife!,” itulah suara ramai yang kedengaran sewaktu peminat melihat tiga anggota kumpulan Westlife tampil di pentas.

Memanaskan aksi dengan lagu World of Our Own, kemunculan Shane Filan, Kian Egan dan Nicky Byrne terus mengundang sorakan gemuruh menandakan keterujaan khalayak.

Tidak membiarkan masa terbuang, Shane mewakili rakan lain menzahirkan rasa gembira dapat kembali beraksi di Genting Highlands.

“Terima kasih anda semua. Lokasi ini sarat memori kerana pertama kali kami berada di pusat peranginan ini adalah 24 tahun lalu,” ujarnya ringkas.

Momentum persembahan diteruskan dengan seleksi rancak Lay My Love on You dan Nothing Gonna Change My Love For You yang membuatkan penonton ikut bergoyang.

Selepas itu dendangan wajib Flying Without Wings pula menyusul diikuti Home, Starlight, Bob Bob Baby serta Full Again yang menjadikan suasana di tempat duduk semakin hangat.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam tersebut secara tidak langsung mengembalikan memori peminat ketika zaman remaja apabila setiap lagu menjentik nostalgia.

Bukan hanya berdendang, langkah tiga anggota utama kumpulan itu menari mengikut rentak turut melonjakkan jiwa muda sebahagian penonton yang membesar dengan lagu mereka.

Biarpun turut menyampaikan lagu popular penyanyi lain termasuk keterujaan khalayak tetap membara sekali gus nuansa malam tersebut berganda dengan emosi gembira.

Pancing perhatian

Lebih menarik, mereka juga bijak memancing perhatian peminat dengan jenaka bersahaja walaupun sekadar celoteh ringkas terutama tatkala bercerita kisah lampau sepanjang 26 tahun menghiburkan penggemar.

Kumpulan yang kali terakhir beraksi di Kuala Lumpur pada tahun lalu turut mengajar penonton bermain cahaya menggunakan bahasa Malaysia.

ESTLIFE terkenang memori pertama kali menjayakan konsert di Malaysia 24 tahun lalu juga di Arena of Stars Genting Highlands.

Nicky yang menjadi ketua dalam aksi tersebut berulang kali melihat nota di telefon bimbitnya agar bahasa Malaysia digunakan tidak salah.

“Angkat tangan, turun, angkat tangan, turun,” demikian arahan Nicky kepada peminat setia supaya mengikut turutan menyalakan lampu telefon bimbit.

Video berkenaan katanya mahu dirakamkan untuk dimuat naik dalam Instagram Westlife seterusnya sekali lagi menceruskan jeritan peminat.

Antara seleksi berhantu lain yang diperdengarkan adalah We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

2 tahun, 119 konsert

Menerusi aksi mega tersebut, Shane turut mendedahkan mereka berjaya merealisasikan 119 konsert dalam tempoh dua tahun menjayakan siri jelajah dunia Westlife The Hits Tour.

“Perasaan dapat bertemu anda semua indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang kali ke sini dan banyak negara lain.

“Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermakna empat, lima persembahan besar setiap bulan.

“Malaysia, we flying without wings,” katanya disambut tepukan gemuruh.

PERSEMBAHAN mega kumpulan asal Ireland yang ditubuhkan pada 1998 di Genting Highlands baru-baru ini membawa penonton melalui terowong masa dengan untaian lagu malar segar.

Ketiadaan seorang lagi tunjang utama Westlife iaitu Mark Feehil yang tidak dapat turut serta disebabkan masih dalam fasa pemulihan selepas pembedahan.

Atas alasan itu juga, mereka berjanji datang kembali lagi ke Malaysia.

Ini bukan kali pertama Westlife datang Malaysia, malah baru tahun lalu mereka beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil.

Westlife Hits Tour 2024 merupakan anjuran MMIC Entertainment Group dengan kerjasama J Concert Productions.

Sebelum singgah di Genting Highlands, mereka lebih dulu menghiburkan peminat di Beijing, Nanjing, Shenzhen, Shanghai di China, disusuli Korea dan Vietnam.

Selepas ini, penerima trofi World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan penjulang empat kali Record of the Year Awards bagi 1999, 2000, 2003 dan 2005 itu menuju pula Indonesia, sebelum ke Singapura bagi melengkapkan jelajah Asia Tenggara.

Mengumpamakan diri mereka akrab dengan peminat, Nicky sekali lagi meluahkan rasa terharu dengan sokongan ramai sebelum menutup tirai persembahan dengan lagu My Love.

Melihat aksi bertenaga Westlife pada usia melepasi 40-an, tidak hairan sepanjang tempoh jelajah, tiket konsert konsert Westlife sudah terjual melebihi 5.5 juta keping di seluruh dunia, selain mencecah edaran 55 juta unit album.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok