KEBERADAAN pelakon dengan nama pentas Haidar Hasanudin dalam industri seni hiburan tanah air baru berusia setahun jagung. Jadi tidak pelik jika masih ramai yang belum mengenalinya.
Bermula sebagai pembantu produksi yang hanya berada di belakang tabir, rezeki akhirnya memihak kepada Haidar apabila diberi peluang untuk membintangi beberapa drama.
Biarpun kebanyakkannya cuma memegang watak pembantu, peluang yang diberikan tidak disia-siakan, sementelah bergelar pelakon sudah menjadi keinginan dan cita-citanya sejak kecil.
Lain diminta lain pula yang jadi apabila kehadirannya dalam industri seperti menjadi sasaran peminat obses.
Memiliki wajah tampan dan maskulin, pelakon Haidar Hasanudin, mendedahkan sering diganggu peminat wanita yang menawarkan pelbagai kesenangan kepadanya.
Bermula hanya sebagai peminat, pelakon berusia 35 tahun itu tidak menyangka seorang wanita berstatus ‘mak datin’ sanggup menggula-gulakannya dengan wang sebanyak RM50,000 bagi menjadi lelaki peneman atau anak ikan.
“Semuanya bermula ketika saya membawakan watak ‘anak ikan’ bernama Arjuna dalam drama bersiri Layang Layang Perkahwinan. Ketika drama ditayangkan, dia mengikuti saya di Instagram dan sering menghantar mesej langsung (DM).
“Awalnya, dia komen mengenai drama. Lama-lama, keadaan menjadi pelik, dia mula bercakap hal peribadi dan sebagainya.
“Saya terkejut kerana dia mula menawarkan kemewahan seperti wang tunai bernilai RM50,000 dan mahu hadiahkan kereta asalkan saya mahu menjadi teman rapatnya,” kongsi Haidar kepada Pose.
Enggan termakan godaan, Haidar memilih untuk tidak melayan permintaan wanita terbabit sebaliknya terus mencipta nama dalam bidang lakonan.
“Kalau fikir nak senang, mungkin saya dah terima tetapi saya tak mahu apa yang saya usahakan selama ini sia-sia.
“Saya bermula dari bawah, nama saya sebagai pelakon mula dikenali, kalau saya berhenti kerana wang, sia-sia segala susah payah saya selama ini.
“Saya berlakon kerana minat, bukannya wang. Jika nak senang, mesti saya dah terima tawaran wanita itu. Kini, saya tidak melayan mesej sebegitu kerana bimbang akan melarat,” tuturnya.
Ini bukan kali pertama Haidar menerima gangguan sedemikian, sebelum ini dia juga pernah diganggu lelaki songsang.
Lebih teruk, golongan itu ‘berani mati’ mengirimkan gambar kemaluan kepadanya.
Menutup perihal itu, Haidar kini sedang hangat mempromosikan drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi malah sempat mengulas pembabitannya dalam naskhah tersebut.
Menggalas watak sebagai Cikgu Safuan, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui watak tersebut merupakan pengalaman pertamanya membawa peranan sebagai guru.
“Saya bersyukur dapat bergandingan dengan nama-nama popular seperti Meerqeen, Erysha Emyra, Ozlynn, Nina Juren, Arash Mohd dan ramai lagi.
“Berlakon bawah arahan Hadith Omar beri saya pengalaman baharu dan saya cuba sedaya upaya untuk memberi lakonan yang berkualiti.
“Tiada apa yang saya pinta selain bakat saya dikenali dan membuka mata sutradara lain lagi,” tutupnya.