APLIKASI WhatsApp digodam, penyanyi Azlan Typewriter mengingatkan kenalan mahupun mereka yang pernah berurusan dengannya agar tidak terpedaya dengan tipu helah individu yang menggunakan nombor telefon bimbitnya.
Ujar Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle Sallehhuddin, 42, scammer kini sudah menyebarkan mesej meminta wang berjumlah RM3,000 kepada beberapa nama dalam senarai nombor simpanannya.
Pada 30 Mei, WhatsApp saya kena ‘hijack’ (diambil alih) pihak tidak bertanggungjawab.
“Mudah saja, kalau ada terima mesej atau panggilan daripada WhatsApp, itu bukan saya.
Berhati-hati semua. Mereka dah mula minta RM3,000 daripada kawan-kawan saya,” katanya menerusi Instagram.
Sementara itu, isteri Azlan merangkap pengurusnya, Normala Hassan, berkata, Azlan menyedari WhatsApp digodam ketika dalam perjalanan mengadakan persembahan di Kem Terendak, Melaka.
Katanya, Azlan akan membuat laporan polis malam ini sekembalinya dari Melaka berikutan tindakan scammer meminta wang menggunakan WhatsApp tersebut.
“Memang Azlan sudah merancang untuk membuat laporan polis hari ini, cuma sekarang dia masih dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Buat sementara waktu apa-apa urusan boleh terus melalui saya kerana dia terpaksa menggunakan nombor lain.
“Situasi ini mengundang masalah bukan hanya mengganggu urusan kerja, malah kita paling takut kalau ada yang ‘termakan’ pujukan scammer,” ujarnya.
Malam tadi penyanyi Jangan Khianati Aku itu membuat hebahan menerusi Instagramnya tentang WhatsApp digodam dan kebimbangannya jika digunakan untuk menipu wang orang ramai. – HIBGLAM