[VIDEO] Saharul Ridzwan tiup semangat, minta pelajar jangan putus asa

SUSULAN pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, pelakon Saharul Ridzwan berharap mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang tidak patah semangat.

Saharul atau nama lengkapnya Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, 35, berkata, ramai dalam kalangan individu tidak cemerlang di sekolah masih mampu meraih kejayaan di peringkat kolej mahupun kerjaya.

“Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang dapat keputusan cemerlang dan juga yang tidak dapat keputusan baik.

Kenapa tahniah? Tahniah atas semangat dan keinginan untuk belajar. Ada orang belajar pandai tetapi selepas dapat keputusan dia tidak lagi mahu belajar.

“Berbeza dengan pelajar yang tak dapat keputusan bagus. Disebabkan keinginan, dia belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan lebih baik,” katanya menerusi sebuah perkongsian video dalam TikTok.

Selain itu, bekas peserta Hero Remaja 2011/2012 itu turut berkongsi kisah perjalanannya sebagai pelajar sebelum ini yang memperoleh keputusan cemerlang selepas melanjutkan pengajian peringkat Diploma.

Belajar untuk jadi manusia yang lebih baik dari satu hari ke satu hari. 2A 4B 3C (SPM) dan waktu diploma saya dapat anugerah dekan hampir setiap semester dengan pointer 3.72 bagi Diploma Aircraft Maintenance.

“Sekarang pun saya masih belajar untuk perniagaan. Saya masuk beberapa kelas,” ujarnya lagi.

Kongsinya lagi, ilmu yang dipelajari harus digunakan dengan betul supaya dapat membawa manfaat dalam kehidupan.

Setiap hari adalah proses pembelajaran. Paling penting, apa yang kita belajar dapat membawa kebaikan kepada kita dan agama.

“Insya-Allah, kita akan ke jalan yang betul. Gunakanlah ilmu dengan sebaiknya,” tuturnya.

Isnin lalu, seramai 373,525 calon menduduki SPM 2023 mengambil keputusan peperiksaan.

Dilaporkan, 11,713 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 10,109 calon pada 2022. – HIBGLAM

@saharulridzwan7Penting ke pelajaran? 🤯

♬ original sound – SaharulRidzwan

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok