BERSAMA single baharu berjudul Sandera selepas sedekad berehat daripada arena muzik, penyanyi Mila Jirin memasang impian membawa dendangan itu ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Kata Mila atau nama lengkapnya Norsyarmila Jirin, 37, harapan yang digalas memerlukan sokongan ramai bagi melancarkan proses Sandera untuk layak mara ke pertandingan berprestij itu.
Siapa yang tidak mahu berada di pentas gah AJL? Itu adalah impian kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu.
“Saya yakin susunan muzik ini memberi magis buat pendengar dan saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu,” katanya.
Dalam masa sama, Mila turut merasakan lagu ciptaan Amylea cukup tepat dengan dirinya sehingga mampu mempamerkan sisi kematangan dalam nyanyian.
“Kalau dikaji semua lirik ini adalah satu perasaan yang terperangkap disebabkan perlu memenuhi kehendak insan dicintai. Terkejut juga baca liriknya, Amylea pandai menggunakan bahasa indah.
Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawakan dan penjiwaan nyanyian.
“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman dahulu proses rakaman hanya diambil selama lima jam saja,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, juara Akademi Fantasia kelima itu menceritakan proses kemunculan semula selepas sedekad meninggalkan bidang nyanyian kerana memberikan fokus utama terhadap perniagaannya bersama suami.
“Setahun atau dua tahun lalu, saya ada berkongsi video menyanyi dalam media sosial dan ramai tanya kenapa sia-siakan bakat.
“Awalnya saya pujuk suami. Meskipun pada mulanya dia agak berat membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi.
“Alhamdulillah dia izinkan dan disebabkan itu saya gunakan peluang yang ada. Saya nak kembalinya saya dalam industri dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya lagi. – HIBGLAM