SELEPAS 18 tahun ‘bertapa’, kumpulan A.C.A.B bakal mengubat kerinduan pengikut setia mereka menerusi konsert This is THE A.C.A.B.- Indie Nostalgic Showcase 2024 di Auditorium Muzik Bentley, Mutiara Damansara pada 1 Jun depan.
Acara yang dinantikan oleh ramai peminat itu akan menyaksikan The A.C.A.B yang dianggotai Max selaku vokalis, Edy (pemain gitar), Irfan (dram), Mono (bass) kembali menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan sejak lebih dua dekad lalu.
Menurut Megat, showcase itu nanti bakal menjadi medan peminat The A.C.A.B. berkumpul setelah sekian lama tidak bertemu.
“Kami berharap peminat-peminat akan berkumpul pada malam itu untuk sama-sama bernostalgia dengan lagu-lagu The A.C.A.B.
“Acara ini juga menjadi platform untuk kita bersua muka memandangkan ia hanya diadakan untuk satu malam sahaja,” ujarnya yang turut bertindak selaku penganjur.
Dalam masa sama, The A.C.A.B. akan mengimbau kembali momen indah berada di puncak kegemilangan dahulu.
“Pastikan anda menyaksikan persembahan ini dan menjadi satu kemestian bagi setiap pencinta muzik indie kerana kami akan mengimbau kembali zaman kegemilangan kumpulan The A.C.A.B.
Nostalgia indie
“Peminat juga dapat menikmati momen indie nostalgia Malaysia sekitar pertengahan 2000-an hanya untuk satu malam sahaja,” kata mereka.
Mengimbau kembali kembara seni band itu, pada 2003, The A.C.A.B telah mempersembahkan konsert gig terakhir sebagai tanda perpisahan sebelum vokalis mereka iaitu Max melanjutkan pelajaran ke London.
Sekembali ke tanah air, Max kembali membentuk semula kumpulan itu dengan nama The A.C.A.B. yang dianggotai Edy sebagai pemain gitar, Irfan (dram), Mono (bass), manakala Max selaku vokalis serta pemain gitar.
Antara pencapaian cemerlang kumpulan tersebut adalah berjaya merakamkan album Indie berjudul, This is the A.C.A.B. sekitar tahun 2005 yang direkodkan sebagai album paling laris di Malaysia selama tiga minggu berturut-turut dalam Carta RIM pada 2006.
The A.C.A.B juga merupakan pencetus fenomena muzik Eastern oi! yang mengubah landskap muzik indie Malaysia sehingga membawa kepada konsert Rock The World pada 2006 dan 2007.
Selain itu, mereka turut melakar kejayaan tersendiri apabila membolos Muzik-Muzik menerusi lagu Setelah yang kekal dalam percalonan Juara Lagu sepanjang 2006-2007.
The A.C.A.B yang ditubuhkan pada 1994 oleh Max dan Edy J Herwan cukup berpengaruh dalam kalangan peminat muzik indie.
Bermula dengan demo yang keluar menerusi Bovver Brigade Records pada 1995, The A.C.A.B tidak menoleh ke belakang lagi dengan album Eastern Oi! dan Skinhead 4 Life yang mengubah muzik Oi!/Punk tempatan selain mempengaruhi ribuan anak muda untuk mula bermain muzik.