TERPANGGIL bersuara mengenai kegilaan sekelompok manusia yang obses menjaga tepi kain orang, selebriti Diana Danielle menyifatkan tindakan ‘menegur’ selebriti dalam media sosial sudah menjadi satu penyakit.
Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, dia hairan dengan sikap segelintir netizen yang suka menyibuk sehingga sanggup mencetuskan fitnah terhadap orang lain terutama melibatkan golangan artis.
“Tak faham yang suka tegur-tegur orang di media sosial, jangan begini, jangan begitu. Aurat itu aurat ini. Mata pun kena jaga juga, kalau betul nak jaga, jaga diri dulu daripada terjebak dengan media sosial.
“Lubuk segala fitnah, tipu daya semua lah. Sah sah melalaikan, sah sah banyak benda yang tak patut tengok akan tertengok. Kalau lelaki nampak aurat perempuan dan sebaliknya. Yang itu tak pula nak jaga,” katanya dalam perkongsian Instagram Story.
Menurut isteri kepada pelakon Farid Kamil itu, hakikatnya mereka boleh mengawal sendiri kandungan laman sosial yang ingin diikuti andai tidak menyenangi seseorang individu.
Namun akuinya, kawalan kendiri tidak dilakukan, sebaliknya sebilangan netizen sibuk melayari pelbagai platform media sosial yang hakikatnya melalaikan.
“Semua akaun media sosial ada, TikTok, Instagram, Facebook, X, dan YouTube. Beritahu sahaja.
“Kalau periksa masa yang dihabiskan dengan telefon sekurang-kurangnya berjam-jam sehari melayari konten yang tidak berfaedah,” katanya.
Menurut Diana, lebih baik masa yang dibazirkan menyibuk
urusan orang lain dimanfaatkan dengan memberikan lebih perhatian terhadap keluarga masing-masing.
“Bila kali terakhir periksa keadaan insan kesayangan, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami yang memerlukan sesuatu daripada awak?
“Kalau awak kisah dengan kehidupan sendiri, awak takkan ada masa nak skrol dan secara rawak DM (mesej langsung) kepada orang tak kenal.
“Ini sibuk betul nak jaga aurat anak orang, anak sendiri entah ke mana,” ujarnya dengan tegas.
Berharap sikap suka menyibuk hal dalam kain pihak lain dihentikan, pelakon filem Imaginur itu meminta mereka yang bersikap sedemikian ‘cermin’ dahulu wajah masing-masing.
“Sibuk nak tahu siapa curang siapa apa, laki bini sendiri terabai. Sibuk nak tolong siram rumput jiran sebelah, rumah sendiri bersarang.
“Berhenti. Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain,” tambahnya.
Ibu kepada dua anak itu sebelum ini sering mengulas pelbagai isu dalam media sosialnya sebagai cara menzahirkan pandangan. – HIBGLAM