SUKAR tidur malam, terasa sejuk ditempat panas, hilang semangat kerja dan kuat makan antara simptom yang dialami oleh penerbit Datuk David Teo gara-gara disihir.
Menurut Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) itu, kejadian tersebut berlaku pada 2018 seminggu selepas bapanya meninggal dunia.
“Seminggu selepas bapa meninggal dunia saya pulang ke rumah dan mula tidak boleh tidur, darah tinggi juga naik mendadak.
Saya sangka sakit biasa dan makan ubat hospital tetapi masih tidak baik. Selain itu, saya sering rasa sejuk walaupun berada di tempat panas.
“Bayangkan saya pakai baju tebal untuk musim sejuk di tengah terik matahari dan tidak rasa panas langsung. Saya juga hilang semangat kerja dan sentiasa fikir mahu mati,” kongsi David.
Semakin pelik, David yang sebelum itu tidak makan banyak mampu makan nasi dengan kerap sehingga jam 3 pagi selain gemar telur separuh masak.
Saya tidak suka telur separuh masak tetapi sejak terkena sihir saya boleh makan sehingga 10 biji sekali hadap,” katanya.
Selepas sebulan mengalami simptom tersebut, David dibawa berubat dengan pengamal perubatan Islam apabila perubahan dirinya disedari salah seorang pekerja syarikatnya.
Ustaz kata saya boleh mati jika tidak dirawat dengan segera. Dia memaklumkan saya disihir dan terkena santau. Lintah dimasukkan ke dalam badan saya untuk buat saya sakit secara perlahan-lahan.
“Selepas rawat saya kembali sihat dan menjadi diri saya yang normal. Meskipun banyak menerbitkan filem seram dan mistik, inilah adalah pengalaman pertama saya berdepan pengalaman disihir dan santau,” ujar David.
Tambah David, dia sama sekali tidak menyangka ahli keluarga terdekat sanggup menghantar ilmu hitam hanya kerana koflik keluarga.
“Saya ingat orang lain rupanya ahli keluarga sendiri. Patutlah semasa sakit, saya bermimpi ukiran kayu.
Sebab saudara saya itu memang tinggal dan bekerja di Indonesia lebih 10 tahun. Sekarang selepas saya sihat hubungan kami seperti biasa, tidaklah rapat.
“Cuma saya sudah berjanji untuk tidak mempertikaikan lagi perbuatan dia. Hati saya sudah melepaskan apa yang berlaku,” jelas David.
David berkata demikian ketika ditemui pada majlis Riang Ria Raya Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu di sini semalam.
Dalam pada itu, David turut memaklumkan pengalaman peribadinya turut diselitkan dalam filem seram arahan Pierre Andre yang akan menemui penonton tahun ini.
Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu dibintangi Emma Maembong, Alif Hadi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Hafizudin. – HIBGLAM