DITUDUH batu api dalam rumah tangga abangnya dengan Rita Rudaini, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seremban, Negeri Sembilan, sebentar tadi.
Zaquan Adha atau nama sebenarnya, Zaquan Adha Abdul Radzak, 37, berkata, tindakan tegas itu diambil berhubung dakwaan berunsur fitnah dilemparkan bekas kakak iparnya itu.
Saya baru selesai buat laporan polis berkenaan Instagram Story yang dikeluarkan Rita Rudaini
kerana bagi saya itu berunsur fitnah yang melibatkan saya dan keluarga.
“Ini laporannya. Saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut nanti,” katanya dalam perkongsian video Instagramnya.
Dalam hantaran sama, suami kepada pelakon Ayu Raudhah itu turut menyertakan doa memohon agar dipermudahkan urusan selain dihindari daripada segala kesulitan.
Perkara tersebut susulan serangan balas kononnya Zaquan Adha tidak masuk campur dalam urusan rumah tangga kembarnya iaitu bekas suami Rita, Aidil Zafuan.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 47, mengumpamakannya seperti sejenis batu api yang paling besar malah, turut mengungkit peristiwa lalu termasuk didakwa membuat cerita bayi dikandung Rita bukan anak abangnya.
Ibu tunggal anak dua itu juga memberi amaran agar mereka tidak lagi mengeluarkan kenyataan tentang isu membabitkan dirinya dengan Aidil.
Malah, menurut pelakon filem Mami Jarum Junior itu lagi, impak perbuatan keluarga bekas suaminya membuatkan dia menjadi wanita kuat.
Sebelum ini, perkahwinan Rita dengan Aidil Zafuan pada 2008 hanya bertahan selama lima tahun dengan dikurniakan dua anak lelaki lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Namun konflik antara mereka masih tiada kesudahan berikutan beberapa isu terutama membabitkan nafkah anak selain tanggungjawab sebagai bapa.
Menerusi semakan, ramai meninggalkan komen menitipkan kata-kata semangat termasuk kakak ipar Zaquan, Rozita Che Wan.- HIBGLAM