KHABAR duka dikongsikan pelakon Catriona Ross menjelang Syawal mengenai bapanya, Bahrin Ross yang meninggal dunia di Edinburgh, Scotland, semalam.
Kata Catriona atau Catriona Norhayati Ross, 43, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepadanya selepas pemergian ibu pada tahun 2013.
“Ini adalah berita yang sangat sedih dan sukar untuk saya kongsikan selepas kehilangan ibu.
Saya ingin memaklumkan Daddy telah kembali menghadap Ilahi pada Jumaat bersamaan 25 Ramadan.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi waktu Malaysia,” katanya dalam hantaran Instagram.
Difahamkan, pelakon itu bersama seorang adiknya sudah berada di Edinburgh sejak 30 Mac lalu.
Catriona juga berkongsi keperibadian istimewa insan disayanginya yang juga penyokong kuat dalam setiap lapangan diceburi, selain individu positif.
Dia sentiasa tersenyum dan sangat ramah. Al-Fatihah buat lelaki yang mengajar saya menjadi berani dan menjadikan saya seorang terbaik,” ujarnya.
Tidak mampu menahan kerinduan terhadap ibunya, dia turut meluahkan perasaan mengenai kedua-dua orang tuanya.
“Peluk ibu untuk saya. Saya rindu sejak dia tiada. Saya sayang kamu berdua,” katanya lagi.
Kali terakhir pelakon dan penulis skrip itu bertemu ayahnya adalah pada Aidilfitri tahun lalu apabila dia bersama suami dan tiga anak mereka menyambut hari raya di Edinburgh. – HIBGLAM