GARA-GARA membuat pendedahan tidak berpuasa sepanjang Ramadan tahun ini, penyanyi Shila Amzah dikecam teruk netizen yang menyifatkannya tidak sensitif.
Enggan terus dihambur caci maki, Shila atau nama lengkapnya Norshahila Amir Amzah, 34, yang sedang sarat mengandung lapan bulan itu bertegas, mempunyai alasan tersendiri.
Dia tidak boleh berpuasa kerana menghidap masalah tekanan darah rendah dan pembawa thalasemia.
“Saya pembawa thalasemia jadi masalah tekanan darah rendah memang tak dapat dielakkan.
“Jadi jangan kata awak ada masalah tekanan darah rendah boleh berpuasa.
“Badan orang lain-lain, lagi pun saya mengandung. Allahu mana nak sama, betul tak? Saya memang malas layan golongan ‘baik beli’ dan ‘terpaling’ ini,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram
Tambah pelantun Patah Seribu itu, masalah tekanan darah rendah membuatkan dirinya kerap berasa pening dan mudah pitam meskipun sudah mengambil ubat mengikut jadual.
“Tekanan darah rendah ini memang masalah, jalan sikit pening, berdiri lama pun rasa pening.
“Ada satu hari saya nak beli barang keperluan dengan Ubai, ya Allah memang rasa nak pitam. Makan ubat semua sudah tapi itulah dugaan nak buat macam mana.
“Doakan saya dan bayi selamat bersalin nanti, insya-Allah,” jelasnya panjang lebar.
Terdahulu, Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos 2023.
Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais, 5. – HIBGLAM.