TIADA istilah bekas mentua atau menantu. Perihal itu dapat dilihat menerusi kasih sayang ditunjukkan isteri penerbit Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Patimah Ismail terhadap pelakon Puteri Sarah meski sudah bercerai dengan Syamsul Yusof.
Bahkan, terbaharu Patimah sekali lagi meluahkan rasa terkilannya apabila menyimpulkan kebahagiaan menantunya itu dimusnahkan wanita lain.
Patimah berkata, bukan bermakna dia tidak menyokong anaknya iaitu pengarah Syamsul Yusof namun menghargai Puteri Sarah adalah kerana menjaga dua cucunya, Syaikhul dan Summayah selama ini dengan baik.
“Tidak sokong anak bukan bermakna tidak sayang.
Kasih sayang kami kepada Puteri Sarah disebabkan dia menantu yang menjaga anak-anaknya dengan baik sepanjang bersama Syamsul.
“Namun, kebahagiaannya digugat oleh penyondol kejam,” katanya dalam ruangan komen.
Sebelum ini, Patimah tidak pernah berhenti mendoakan dan memberi sokongan terhadap Puteri Sarah meskipun sudah bercerai dengan Syamsul.
Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah berakhir apabila disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun tahun lalu selepas sembilan tahun berkahwin.
Sementara, Syamsul pula sebelum ini membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kaza sekitar Januari lalu di Thailand.
Kini, nama Puteri Sarah rancak digosipkan dengan aktor Indonesia, Andi Arsyil Rahman selepas kerap dilihat bersama bagi urusan bisnes.
Sejak bernikah, masih tiada lagi pertemuan antara Ira dan keluarga mentuanya selain Syamsul juga dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah Yusof. – HIBGLAM