Demi anak, Hisyam Hamid tolak lakon babak ‘panas’

SAYA takkan buat babak rogol atau lucah.”

Demikian prinsip pelakon Hisyam Hamid yang mengakui cerewet dalam pemilihan watak demi memberikan kehidupan yang tenang buat keluarga tercinta.

Menurut Hisyam, 39, prinsip tersebut diamalkan sejak dulu lagi bagi memastikan dia tidak terlibat dalam adegan yang menyentuh isu sensitif dan keganasan seksual.

Sejak dulu saya jaga portfolio kerjaya seni dan takkan terima watak sensitif malah secara peribadi memang tak akan buat.

“Paling saya elak ialah babak yang ada kaitan dengan rogol dan sebagainya.

Saya rasa perkara sebegitu sangat sensitif dan rasa marah. Jadi, mengapa saya perlu libatkan diri dengan adegan macam itu?” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bukan sengaja menolak rezeki, dia menegaskan enggan tindakannya terlibat dengan adegan sensitif akan memberi impak negatif terhadap kehidupan dua anaknya.

“Saya ada keluarga dan anak-anak. Semua perkara yang nak buat perlu fikirkan mereka dahulu selain kena tunjuk contoh baik kepada mereka.

Sebab itu saya tak akan lakonkan babak lucah meskipun penggambarannya tidak menampakkan wajah saya.

“Setakat ini anak-anak tak pernah bertanya mengenai lakonan saya cuma saya perlu berhati-hati agar semuanya terkawal,” jelasnya.

Pelakon kelahiran Singapura itu juga menegaskan dirinya tidak akan hanyut untuk melakonkan babak sensitif hanya kerana ditawarkan bayaran tinggi.

Ujarnya, bayaran adalah perkara terakhir yang akan dipertimbangkan setiap kali menerima sebarang tawaran lakonan.

Selalunya kalau dapat sebarang tawaran, saya akan teliti jalan cerita dan watak kemudian barulah jumlah bayaran.

“Kalau dibayar lumayan sekalipun, saya memang tak akan lakukannya. Saya lebih memilih untuk berlakon, kemudian pulang ke rumah dan tidur dengan tenang tanpa memikirkan sebarang impak negatif seperti kecaman netizen,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok