Lelaki? Bukan dalam senarai utama – Mawar Rashid

PELAKON Mawar Rashid belum terbuka untuk menyahut salam perkenalan mana-mana lelaki yang disifatkan tiada dalam senarai keutamaan buat masa ini.

Akui pemilik nama lengkap Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu, dia lebih selesa menyayangi diri sendiri, sekali gus mahu memberi sepenuh perhatian terhadap perkembangan tiga permata hati.

Cukuplah ada anak-anak, keluarga serta sahabat yang sentiasa ada di sisi saat susah dan senang, kehadiran lelaki lain belum pernah terfikir dan mungkin lambat lagi.

“Saya dalam fasa kenal diri, belajar sayangkan diri sendiri dulu agar dapat memberikan kasih sayang semaksimumnya kepada anak-anak.

“Kalau soal mengenali orang baharu, biarlah perkara itu saya letak ke tepi kerana banyak lagi benda penting lain wajar diberi perhatian,” katanya kepada HibGlam.

Malah akui pelakon drama Pencuri Cinta Kelas Satu itu, kesibukan di set penggambaran dengan yang terbaharu Jangan Pandang Belakang 2, selain menguruskan bisnes membuatkan masanya sentiasa terisi.

Tahun ini memang saya nak kembali aktif berlakon selepas memberikan tumpuan terhadap perniagaan serta anak yang masih kecil terutama si bongsu.

“Selepas ‘shooting’ filem sekuel seram Jangan Pandang Belakang Congkak selesai, ada beberapa judul naskhah lain dalam pertimbangan,” ujarnya.

Mengenai kekeliruan gambar mengenakan busana serba putih yang mencetuskan tanda tanya, wanita berstatus ibu tunggal itu mendedahkan foto terbabit dirakamkan ketika pernikahan ibunya, Datin Marinee Abdullah.

Insan kesayangannya bertemu jodoh dengan pilihan hati asal Brunei iaitu Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar.

Alhamdulillah, ibu saya selamat membina kehidupan baharu. Saya tumpang gembira kerana mempunyai ayah, cuma sedih sebab perlu berjauhan dengannya,” katanya.

Mawar mendirikan rumah tangga dengan Raf Yaakob pada 9, namun perkahwinan yang dibina tujuh tahun lalu berakhir pada November 2023 atas punca tiada persefahaman.

Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok