MEMAHAMI situasi akibat perceraian ibu bapa, pelakon Mia Sara Shauki berharap individu yang berdepan masalah sama dengan dirinya tidak memendam perasaan sendirian.
Kata pemilik nama lengkap Mia Sara Shauki Afdlin Shauki, 25, kehidupan menjadi lebih sukar selepas perpisahan orang tua antara fasa yang boleh menjentik emosi anak-anak.
“Sebenarnya agak susah untuk berhadapan isu ibu bapa bercerai kerana kehidupan selepas itu berubah serta tidak menjadi mudah.
“Semua orang ada cabaran hidup. Dari kecil kami belajar dari ibu bapa bagaimana mahu menerima perkara sebegini.
“Jadi, bagi saya kalau ada orang sedang melalui situasi sama, saya harap kalian luahkan apa yang dirasai, jangan pendam,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, Mia yang berdepan perpisahan dua insan disayangi pada tahun 2022 reda dengan suratan takdir, selain memikirkan kebahagiaan kedua orang tuanya yang tidak lagi boleh bersama.
“Selepas mereka bercerai tiada sebarang masalah pun timbul, malah kami adik-beradik terbuka hati dengan keputusan tersebut.
“Asalkan mereka gembira dan bahagia untuk membawa haluan masing-masing.
“Kami terima dengan hati terbuka. Mungkin sebab dari kecil sudah diajar untuk mendahulukan kebahagiaan orang lain,” ujar anak kepada pengarah dan pelakon Datuk Afdlin Shauki itu.
Ditanya mengenai perbincangan bersama keluarga, Mia memberitahu ibu bapanya tidak membelakangi anak-anak dalam sebarang keputusan yang dibuat termasuk soal perceraian.
“Sebelum bercerai, mereka kumpulkan kami untuk ajak berbincang mengenai keputusan untuk berpisah.
“Memang saya akui, ada kala saya menangis kerana mereka berpisah tetapi perkara tersebut normal dan menjadi proses untuk reda dengan perceraian terbabit.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Ayah pun sudah berkahwin baharu dan saya juga rapat dengan ibu tiri.
Sebelum ini, Afdlin dan bekas isterinya, Maria Christina Orow berpisah pada April 2022 selepas 25 tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan dua dekad tersebut, mereka dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Mia, Anais dan Ileana Matin.
Menurut laporan Kosmo! Online pada Mei tahun lalu, pengarah filem Papadom itu memberikan gambaran bahawa Ogos adalah momen penting dalam hidupnya.
Pada September 2023, Afdlin mengesahkan sudah berkahwin dengan wanita pilihan yang juga pengurusnya, Marcella sekali gus meleraikan spekulasi tentang status dudanya. – HIBGLAM