Hafiz Mahamad berhabis setengah juta demi Misi Ainaa

PEMPENGARUH dan usahawan terkenal Hafiz Mahamad sanggup berhabis lebih setengah juta demi menghasilkan sebuah filem pendek bergenre aksi berjudul Misi Ainaa.

Hafiz yang turut menggalas tugas pengarah dan pelakon utama sebagai Komander Hafiz dalam filem pendek itu berkata, tujuannya menerbitkan karya terbabit bukanlah untuk meraih keuntungan.

“Kos pembikinan filem pendek ini mencecah lebih RM500,000. Ada yang bertanya, saya berniaga produk penjagaan wajah tetapi buat filem aksi perang.

Tujuan saya bukanlah untuk dapatkan keuntungan kerana filem ini tidak ditayangkan di pawagam.

“Sebaliknya, apa yang ingin disampaikan adalah perjalanan kami sebagai sebuah organisasi dan mahu menunjukkan kredibiliti saya selaku ketua yang ada kemahiran,” kongsi Hafiz.

Selain Hafiz dan isterinya, Syafiqah Aina yang memegang watak utama, filem pendek ini turut dibintangi ramai nama besar seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Hasnol Rahmat, Hushairi Hussain, Yayan Ruhiyan dan Elfira Loy.

Jelas Hafiz, dia sama sekali tidak menyangka barisan pelakon terkenal akan turut terlibat dalam karyanya itu.

“Mulanya saya hanya berangan-angan untuk mendapatkan pelakon-pelakon hebat ini, namun apa yang mengejutkan mereka bekerja bukanlah sebab duit tetapi seni.

Saya bertemu dengan Beto dan berkongsi tujuan saya menghasilkan filem ini. Katanya, nilai untuk dia berlakon bukanlah satu kepentingan, tetapi yang utama adalah isi ceritanya.

“Selepas membaca skrip, Beto bersetuju dan berkomunikasi dengan rakan-rakannya yang lain. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan melihat hasilnya saya cukup berpuas hati.

“Mereka memang pelakon yang hebat, saya sendiri banyak belajar dengan mereka di set penggambaran,” kata Hafiz.

Melihat kualiti filem pendek yang dihasilkan, ramai menjangkakan usahawan produk kecantikan itu bakal membuka produksi miliknya sendiri selepas ini.

Hafiz bagaimanapun menolak untuk terlibat dalam perniagaan seni itu sebaliknya mahu fokus mengukuhkan jenama Ainaa yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu.

Menerbitkan karya, mengarah, menulis skrip dan berlakon adalah perkara baharu untuk saya. Walaupun seronok dan boleh lakukannya tetapi saya buat bukan untuk duit.

“Jika saya ada rumah produksi sendiri, itu sudah jadi satu perniagaan berasaskan duit. Setakat ini belum lagi ke arah itu kerana saya hanya mahu fokus kukuhkan perniagaan Ainaa Clinic dan Ainaa Beauty,” tuturnya.

Filem pendek Misi Ainaa telah pun dimuat naik secara rasmi di semua platform media sosial pada 22 Februari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok