Dwi personaliti menggoda Na In-woo

MEMULAKAN debut dalam industri hiburan Korea Selatan sejak 2013, pelakon Na In-woo sebenarnya belum mendapat perhatian menyeluruh peminat.

Namun, perjalanan kariernya mula berubah secara drastik sebaik terbabit dalam drama popular Marry My Husband yang melonjak lagi namanya sehingga ke peringkat global.

Naskhah berkisar rumah tangga itu umpama magnet yang menarik fokus penonton dengan plotnya yang tidak dapat dijangka, sekali gus mencipta fenomena sejak menemui penonton awal tahun ini.

Setiap episod sarat pusingan plot mengejutkan dan membuatkan peminat leka mengikuti satu persatu kisah mengenai pengkhianatan, peluang kedua dan pembalasan dendam.

Impak garapan naratif dan plot yang tidak membosankan, ditambah penampilan karisma In-woo, semua itu membuatkan dirinya menjadi kegilaan penonton.

Penjiwaan lakonannya yang ‘menjadi’ selain memiliki wajah tampan, antara faktor aktor berusia 29 tahun itu segera mengumpul peminat tegar.

IN- WOO berharap dapat beraksi dalam nashkah lebih mencabar dan menunjukkan sisi lain dalam dirinya. – DAZZED KOREA

Menerusi Marry My Husband, In-woo melakonkan watak Yoo Ji-hyuk iaitu seorang pengurus pemasaran U&K Food yang membantu sahabat baiknya, Kang Ji-won lakonan Park Min-young untuk membalas dendam.

Tindakan balas dendam dilakukan terhadap suami Ji-won yang curang dan pengkhianatan kawan baiknya, masing-masing dilakonkan Lee Yi-kyung dan Sung Ha-yoon.

Karakter

Sebagai pelakon utama, In-woo menyifatkan wataknya sebagai seorang lelaki sempurna kerana mampu berada di sisi wanita yang disayangi.

Saya memegang watak sebagai Yoo Ji-hyuk iaitu seorang lelaki yang kelihatan sempurna dan dalam masa sama hanya mencintai seorang wanita.

“Dia berfungsi sebagai pendamping yang sangat dipercayai Kang Ji-won ketika dia sedang buat persiapan membalas dendam.

Boleh dikatakan, Ji-hyuk merupakan figura idaman dan putera menawan tetapi drama ini mempunyai elemen kejutan kelak,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

Beruntungnya In-woo, dia bergandingan dengan aktres terkenal Min-young yang boleh dikatakan lebih senior berbanding dirinya.

Disebabkan itu, In-woo menyifatkan gandingan tersebut sebagai satu kepuasan peribadi kerana mereka digandingkan dalam nashkah yang sama.

“Min-young senior yang bersemangat tinggi dan bagi banyak nasihat, begitupun awalnya, saya risau tidak dapat melakukan yang terbaik selain takut membebaninya.

“Namun, dia membuatkan saya berasa tenang, sebab itu juga kami juga mampu membina kemesraan dan keserasian dengan semula jadi.

“Sebagai orang lama dalam bidang lakonan, sememangnya dia banyak membantu dalam setiap adegan kami berdua,” jelasnya.

Dalam masa sama, anak jati Gwanju, Korea Selatan itu menyifatkan ketegasan Min-young harus dipelajari sebagai aktor baharu.

IN-WOO banyak berguru bersama heroin gandingannya, Park Min-young memandangkan dia masih baru dalam industri lakonan. – Kredit foto: DAZZED KOREA

“Min-young sendiri mempunyai ciri-ciri pelakon yang menonjol. Dia mempunyai rasa tanggungjawab dan kepimpinan tinggi.

“Namun, dia juga seorang yang sangat teliti. Dia mendengar dengan baik selain jelas dalam menyatakan buah fikiran sendiri.

“Perkara yang ditunjukkannya benar-benar mendorong saya menerapkan sikap positif sepertinya dalam diri,” tutur ahli tetap dalam rancangan realiti 2 Days & 1 Night itu.

Ketegasan

Selain bergandingan dengan Park Min-young, In-woo juga beraksi dengan pelakon Lee Yi-kyung yang memegang watak Park Min-hwa iaitu teman lelaki Ji-won.

In-woo hanya tertarik untuk menerima tawaran drama Marry My Husband setelah meneliti skrip yang diberikan kepadanya. –  W KOREA

Namun, ada suatu ketika In-woo menjadi sedikit tegas kepada Yi-kyung bagi memastikan masa depannya yang cerah.

“Dia suka berseronok, selalu bergurau, membuat semua orang ketawa. Malah, dia juga memiliki personaliti menawan bertentangan dengan wataknya Park Min-hwan.

Jadi, semasa di set kami tidak pernah kering gusi apabila Yi-kyung berada di sana kerana sering terhibur dengan telatahnya.

“Meskipun kami sering bergurau adakalanya saya bertegas, saya pernah memberikan amaran kepada Yi-kyung untuk mengelak atau mengikuti tingkah laku watak lakonan dalam kehidupan sebenar,” tuturnya.

Artikel penuh, baca menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal menerusi kedai-kedai berdekatan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok