TIADA seorang manusia pun dalam dunia yang tidak berdepan masalah kesihatan. Lambat atau cepat, itu sahaja jadi perbezaan.
Situasi sama dilalui selebriti K-pop yang sentiasa sibuk dengan aktiviti seni. Hingga satu masa, ada segelintir selebriti menyepikan diri bagi mencari penyelesaian masalah kesihatan yang dihadapi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kimchi Panas minggu ini menampilkan antara selebriti Korea Selatan yang berdepan masalah kesihatan sehingga mengganggu karier mereka.
HyunA – Depresi, panik
Terlalu banyak berfikir dan tertekan dengan pelbagai krisis hidup, penyanyi Hyuna mendedahkan dirinya pernah berhadapan depresi dan panik mengejut.
Ujar penyanyi seksi berusia 32 tahun itu, dia terlalu memikirkan hala tuju karier dan kehidupan sehingga menjadi resah.
Begitupun, pelantun lagu Bubble Pop itu memilih untuk berjuang demi merawat penyakit yang dialami.
“Memang rasa dunia gelap bila depresi, sakit yang tak mampu nak jelaskan dengan kata-kata. Tak semua orang mampu menghadapinya dengan tenang.
“Mujurlah saya ada kekuatan untuk melawan rasa depresi itu dan bangkit daripada segala kesakitan, akhirnya keadaan saya kembali okey,” ujarnya dalam satu temu bual bersama media.
Kim Woo-bin – Nasopharyngeal Carcinoma
SIAPA yang tidak kenal dengan aktor beraut tampan yang telah mencapai kejayaan besar pada pertengahan tahun 2012 dengan deretan drama fenomena seperti School 2013, The Heirs dan Uncontrollably Fond.
Dalam pada sibuk dengan tawaran yang tidak putus-putus, lelaki berusia 35 tahun itu mengejutkan peminat apabila disahkan mempunyai sejenis kanser dikenali sebagai nasopharyngeal pada 2017.
Lebih teruk, dia ketika itu sedang menjalani penggambaran filem Wiretap, namun pihak syarikat dan pengarah bersetuju untuk menangguhkan produksi terlebih dahulu dan menunggu keadaan pelakon tinggi lampai itu sembuh sepenuhnya.
Selepas dua tahun setengah bercuti panjang dan menjalani rawatan kemoterapi, keadaan Woo-bin beransur pulih dan kembali aktif dalam dunia seni dengan penampilan istimewa sebagai penyampai anugerah dalam 40th Blue Dragon Film Awards pada November 2019.
Ketika acara itu, Woo-bin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua orang yang memberinya semangat terutama peminat dan teman wanitanya yang juga pelakon iaitu Shin Min-a.
Uhm Jung Hwa – Tiroid
Penyanyi popular Uhm Jung-hwa pernah menjalani pembedahan kanser tiroid pada 2010. Wanita berusia 55 tahun itu tampil berkongsi episod deritanya menerusi satu rancangan temu bual, Yoo Hee Yeol’s Sketchbook pada Januari 2017 dan menceritakan pengalaman sukarnya dan bagaimana dirinya mengatasi penyakit tersebut.
Dia perlu menjalani pembedahan, namun pada masa sama prosedur tersebut akan menjadi pemusnah kariernya.
“Sebahagian daripada pita suara saya menjadi lumpuh dan rosak bahkan saya tidak dapat bercakap selama lapan bulan,” dedahnya mengenai perjuangan menentang kesakitan tersebut.
Choi Sung-won – Acute leukemia
Tiada angin tiada ribut, aktor tampan Choi Sung-won yang pernah membintangi deretan K-drama terkenal seperti Prison Playbook memutuskan untuk mengambil cuti panjang selepas disahkan menghidap penyakit acute leukemia pada 2016.
Terkesan emosi dan mental dengan penyakit tersebut, bintang berusia 39 tahun itu mengakui takut untuk tidur dek bimbang tidak akan bangkit lagi pada keesokkan harinya.
“Jujur itu pengalaman paling mencemaskan sepanjang saya menghidapi penyakit ini.
“Mujurlah keadaan saya sekarang sudah kembali pulih dan boleh melakukan kerja seperti sedia kala,” ujarnya menerusi satu rancangan temu bual. – HIBGLAM