KECENDERUNGAN peminat sesebuah naskhah drama atau filem lazimnya tertumpu terhadap watak hero atau heroin.
Kelaziman sebegitu biasa terjadi di mana sahaja, tidak kira dunia sinema Korea Selatan, Bollywood mahupun Hollywood.
Dari satu sisi lain, peranan antagonis juga menjadi tunggak penceritaan. Tidak hanya hero baik, karakter antihero juga turut memancing perhatian terutamanya dalam siri K-drama.
Pendek kata, jika lakonan mampu mencairkan hati peminat, jadi baik atau jahat, pasti peminat gila bayang.
Kali ini, Daebak menyenaraikan bintang-bintang yang melekat di minda dengan peranan antagonis yang dimainkan dalam naskhah-naskhah terbitan Korea Selatan.
Park Bo-gum
SEBELUM terkenal, pelakon Park Bo-gum mula debut sebagai pelakon yang membawakan watak pembantu dalam filem Blind pada 2011.
Setelah melibatkan diri dalam beberapa naskhah, namanya semakin dikenali dan dilamar memegang watak antogonis dalam drama Hello Monster (2015).
Dia memegang watak Jung Sun-ho yang merupakan seorang pemuda baik hati pada awalnya tetapi dibesarkan oleh seorang pembunuh psikopat.
Disebabkan kurang kasih sayang dan menderita masalah mental, dia akhirnya bertukar menjadi kejam.
Persembahannya dalam Hello Monster membawa kejayaan luar biasa apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada KBS Drama Awards 2015.
Hyun Bin
SAMA seperti Park Go-bum, pelakon Hyun Bin turut memiliki wajah yang kelihatan baik untuk memainkan watak jahat.
Namun, dalam filem thriller jenayah berjudul Negotiation, aktor itu memegang watak antogonis buat kali pertama sejak 16 tahun dalam industri.
Bagi menghidupkan watak tersebut, suami kepada pelakon Son Ye-jin itu turut membiarkan rambutnya mengurai agak panjang dan janggutnya tumbuh untuk kelihatan berusia.
Meskipun sedaya-upaya menonjolkan watak jahat, penonton masih nampak sisi baik aksi Hyun Bin sebagai Min Tae-gu.
Lee Jong-suk
SIAPA tidak kenal dengan pelakon Lee Jong-suk yang sudah terlibat dalam industri seni sejak 2005.
Wajahnya yang keanak-anakan membuatkan penonton menjangka pelakon berusia 35 tahun itu akan memegang watak hero selama-lamanya.
Bagaimanapun, Jong-suk mengubah rentak permainannya dalam dunia lakonan apabila menerima watak antogonis pertamanya pada 2017 dalam filem V.I.P.
Pelakon juga model itu memegang watak Kim Kwang-il iaitu anak tokoh politik Korea Utara yang menerima layanan VIP (orang penting) selepas membelot Korea Selatan.
Dia menjadi suspek utama kes pembunuhan bersiri dalam filem tersebut. Senyumannya yang menakutkan dalam V.I.P membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang tayangan.
Kim Yoo-jung
MEMILIKI wajah comel dan penampilan yang lembut, pelakon Kim Yoo-jung terkenal dengan watak tidak bersalah dan seorang yang baik hati.
Namun, semuanya berubah sekelip mata sejak memegang watak jahat dalam filem Thread Of Lies yang diinspirasikan daripada novel Elegant Lies pada 2014.
Yoo-jung memegang watak Kim pelajar bernama Hwa-yeon yang ceria dan mesra di luar tetapi sebenarnya jahat.
Dia merupakan seorang pembuli yang terlibat dalam kematian misteri rakan sekolahnya.
Watak yang dipegang aktres berusia 25 tahun itu sangat meninggalkan kesan kepada penonton sehingga namanya dicalonkan sebagai Pelakon Baharu Wanita Terbaik di 35th Blue Dragon Film Awards 2014. – HIBGLAM